Kalau cinta, mengapa sampai membunuh?
MERAK Jalanan sangat terkejut apabila membaca berita mengenai pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang berasal dari Sarawak.
Allahyarham adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Perak.
Mayat Nur Farah Kartini dilaporkan ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Menurut polis, mangsa dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya sendiri.
Merak Jalanan hairan, kalau cinta mengapa sampai membunuh. Ini bukan kes pertama. Sebelum ini negara pernah gempar dengan kes seorang ibu tunggal, Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, yang dibunuh teman lelaki di Batu Pahat.
Pada tahun ini juga, seorang lelaki Muhammad Fakrul Aiman didakwa di mahkamah kerana membunuh teman wanitanya yang hamil di Sungai Besar.
Lebih tragis, pelayan restoran itu dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar.
Kerana cinta manusia hilang pertimbangan. Merak Jalanan sering beranggapan bahawa cinta sebagai emosi yang positif dan menyatukan.
Namun hakikatnya, cinta juga bisa menjadi pemicu tindakan kekerasan, termasuk pembunuhan.
Mengapa hal ini boleh terjadi? Ketika cinta berubah menjadi obsesi, seseorang kehilangan rasional dan bertindak berdasarkan emosi yang tidak terkendali.
Melalui beberapa kes pembunuhan kerana cinta ini, Merak Jalanan dapat melihat wujudnya kompleksiti emosi manusia dan betapa bahayanya cinta yang berubah menjadi kekerasan.
Kesimpulannya, cinta adalah emosi yang sangat kuat dan boleh membawa kebahagiaan besar.
Namun, ketika cinta berubah menjadi obsesi dan dikombinasikan dengan emosi negatif, hasilnya menjadi sangat berbahaya kerana hilangnya kewarasan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!