Kes bunuh Nur Farah Kartini: Hilangnya graduan cemerlang, bakal pendidik
KES pembunuhan tragis membabitkan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada Isnin menjadi perhatian setelah kehilangannya dilaporkan sejak Rabu lalu.
Lebih memilukan, negara telah kehilangan permata kerana Allahyarham Nur Farah merupakan seorang graduan yang cemerlang yang juga bakal pendidik bangsa.
Nur Farah adalah sumber berharga yang boleh menyumbang terhadap pembangunan modal insan, demi masa depan negara yang lebih baik.
Malangnya semua itu tidak akan pernah berlaku setelah nyawanya berakhir di tangan si pelaku.
Pelbagai suara berbaur geram, marah, sedih, dan kecewa, diluahkan warganet yang terkejut dengan kekejaman yang dibuat terhadap gadis berusia 25 tahun itu.
Penahanan seorang lelaki yang merupakan anggota polis, bertugas di Kontinjen Perak dipercayai sebagai suspek, menambahkan lagi kemarahan orang awam yang menganggap kes pembunuhan tersebut tidak sepatutnya berlaku.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, suspek telah direman pada selama tujuh hari dan pihak polis masih menunggu laporan lengkap makmal berkaitan kes tersebut untuk menjalankan siasatan lanjut.
Dalam tempoh tersebut, orang ramai yang mempunyai maklumat digesa menyalurkan segera kepada pihak polis, selain tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes tersebut.
Semoga kematian Nur Farah mendapat pembelaan yang sewajarnya dan pelaku mendapat balasan yang setimpal.
Sementara itu, perkembangan politik negara dijangka terus hangat susulan tindakan wakil rakyat UMNO, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai Pas.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengesahkan keahlian Muhamad Jailani diterima pada 10 Jun tahun lalu.
Yakiyuddin dilapor berkata, keputusan Muhamad Jailani yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun itu tidak dianggap sebagai lompat parti kerana pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023.
Tahun lalu, UMNO bertindak menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Muhamad Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai perhimpunan parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!