[VIDEO] Dulu rumah kongsi, kini jadi perkampungan haram PATI
SEREMBAN - Sebuah kawasan seluas 2,700 meter persegi di Taman Bandar Senawang di sini, yang dahulunya menjadi tempat tinggal pekerja warga asing yang bekerja di tapak projek di situ kini dijadikan lokasi penempatan haram mereka.
Lokasi yang dikelilingi hutan dan berpaya itu dikatakan turut menyediakan 'penginapan' kepada kelompok mereka yang tiada tempat tinggal dengan mengenakan bayaran RM50 semalam.
Bagaimanapun ia dapat dikesan pihak berkuasa menerusi serbuan bersepadu Jabatan Imigresen Negeri Sembilan pada Rabu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, penempatan itu kelihatan seperti rumah panjang dan dibina seperti bilik asrama.
Turut disediakan tandas, ruang dapur dan ruang bersantai di bahagian luar yang dikongsi bersama.
Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, dalam serbuan bermula jam 1 pagi itu, seramai 69 warga asing diperiksa dan 11 daripadanya merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa.
"Kesemua mereka merupakan warga Indonesia dan Bangladesh berusia antara 24 tahun hingga 60 tahun.
"Mereka akan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya ditemui pemberita selepas operasi di lokasi pada Rabu.
Ujarnya, ketika serbuan, ada yang cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan pihak berkuasa.
Tambahnya, lokasi tersebut yang terdapat tiga 'blok' dan dikelilingi pagar zink dipercayai telah wujud sejak lapan tahun lalu yang mana salah seorang daripada mereka berperanan sebagai ketua di situ.
"Kita percaya kawasan ini dulunya adalah tempat tinggal bagi pekerja warga asing yang bekerja di projek pembinaan di kawasan terbabit, namun mereka terus tinggal di situ walaupun projek telah siap dan kini bekerja dengan syarikat lain.
"Ia dihuni hampir 99 peratus warga Indonesia dan Bangladesh dan ada sebahagian mereka yang mempunyai kad pengenalan merah," katanya.
Jelas beliau, penempatan ini pernah diserbu pada tahun 2009 dan kini semakin luas.
Katanya, hasil risikan mendapati, kawasan terbabit turut dijadikan transit warga asing dengan dikenakan bayaran RM50 semalam.
Tambahnya, mereka juga hidup seperti di kampung halaman dengan bercucuk tanam dan memelihara ternakan.
"Kawasan penempatan ini bukan saja padat dan kotor, malah dipercayai mencuri sumber elektrik dan air dari luar kerana tidak kelihatan sebarang meter di lokasi.
"Penyambungan dilakukan adalah berisiko dan ia seperti asrama dengan setiap setiap bilik dihuni seorang atau dua orang," katanya.
Malah katanya, turut kelihatan di lokasi iaitu kereta dan beberapa buah motosikal dipercayai milik warga asing berkenaan.
Kata Kennith, pihaknya akan menyemak status kenderaan terbabit dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan status tanah berkenaan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.
"Kita sebenarnya turut menerima aduan penduduk di kawasan ini yang gusar apabila melihat kehadiran ramai warga asing berkumpul di situ.
"Kami sudah mengenal pasti ketua yang mengendalikan penempatan ini dan akan diambil keterangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!