Lapan positif koronavirus di Thailand
BANGKOK - Jumlah kes koronavirus di Thailand meningkat kepada lapan orang hari ini, paling ramai individu yang disahkan positif di luar China.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Anutin Charnverakul berkata, daripada lapan kes yang disahkan itu, lima sudah sembuh dan dibenarkan pulang.
Beliau berkata, baki tiga pesakit dari China berusia 33, 57 dan 73 tahun itu masih menerima rawatan di hospital.
Anutin berkata, keadaan mereka bertambah baik dan mereka akan dibenarkan pulang jika keputusan makmal mendapati mereka negatif koronavirus.
"Kesihatan awam adalah keutamaan kami. Kami tidak akan mengutamakan pendapatan pelancongan berbanding kesihatan awam,” katanya.
"Kami yakin kami dapat mengawal keadaan," katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, Anutin mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan agensi-agensi kerajaan, termasuk dari Kementerian Kesihatan, Pelancongan dan Pengangkutan mengenai langkah-langkah untuk mencegah penyebaran virus itu.
Anutin berkata, terdapat 84 kes disyaki koronavirus dilaporkan di negara itu.
"Daripada jumlah itu, 24 dikesan oleh pengimbas haba di lapangan terbang manakala selebihnya pesakit yang datang mendapatkan rawatan.
"Sebanyak 39 pesakit yang disyaki dijangkiti virus itu dikuarantin di hospital," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!