'Permohonan maaf tidak bersungguh-sungguh'

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Pasukan George Town Festival 2024 telah memadam klip video 'teaser' berhubung sambutan festival tersebut di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi Youtube George Town Festival. Gambar kecil: Syerleena
Sinar Harian pada Selasa melaporkan Pasukan George Town Festival 2024 telah memadam klip video 'teaser' berhubung sambutan festival tersebut di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi Youtube George Town Festival. Gambar kecil: Syerleena
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyelar permohonan maaf yang dilakukan oleh George Town Festival 2024 dengan mendakwa ia dilakukan secara tidak bersungguh-sungguh.

Beliau berkata demikian dalam aplikasi TikToknya dengan menggunakan loghat utara pada Selasa.

Menurut Syerleena, George Town Festival 2024 cuai dalam menjaga sensitiviti masyarakat dengan mengambil cara yang mudah.

"Pulau Pinang patut tunjuk contoh macam mana sebuah negeri yang berbilang kaum boleh meraikan kepelbagaian.

"Tapi itu lah, kadang-kadang kita ni, suka ambil cara yang mudah dan cuai dalam menjaga sensitiviti masyarakat. Dah la buat silap, tulis penjelasan pun tak bersungguh," katanya.

Beliau dengan nada sinis juga mempersoalkan cara penulisan kenyataan media yang dikeluarkan George Town Festival 2024 pada Selasa.

"Awat tak ada 'sub' (penyunting) Melayu ka yang nak tolong tulis kenyataan media ni? Benda-benda macam ni lah buat saya marah. Tapi bukan apa, sebagai anak Melayu Pulau Pinang, saya rasa tak sepatutnya macam tu.

"Kalau saya tak buat teguran keras terhadap kecuaian pihak berkenaan dalam isu George Town Festival ni, bukan sedikit perasaan yang tergores, saya rasa macam kena tikam tau, di ulu hati.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang susah sangat untuk bekerja secara insklusif dan menggunakan akal fikiran yang waras," tambahnya.

Syerleena berkata, tindakan tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat Madani di Pulau Pinang dilihat tidak sepatutnya berlaku dan tidak masuk akal.

"Benda macam ni tak masuk akal lah, jadi saya harap supaya ada usaha untuk memperbetulkan keadaan.

"Perlu ada ketegasan dalam menangani masalah perkauman yang sempit," tambahnya lagi.

Syerleena turut berpesan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan agar berjumpa dengannya pada bila-bila masa.

"Macam ni lah, mai (datang) ketuk pintu pejabat chek (saya), kalau hangpa (kamu) perlukan bantuan. Senang kan?

"Jangan lupa, Malaysia kan milik kita bersama, maka sama-sama kita kena pakat jaga," katanya lagi.

Pada Selasa, Pasukan George Town Festival 2024 memadam klip video 'teaser' berhubung sambutan festival tersebut di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi Youtube George Town Festival.

Dalam satu kenyataannya, tindakan tersebut dibuat untuk mengurangkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

Pasukan itu juga memohon maaf di atas salah faham yang berlaku.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) meminta Kerajaan Pulau Pinang melalui George Town World Heritage Incorporated bertindak dengan penuh tanggungjawab berhubung perkara itu.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, klip video bertemakan 'Here and Now' itu nyata tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat Madani di Pulau Pinang kerana seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.

Klip video 'teaser' itu didakwa tersebar luas dalam media sosial bagi mempromosikan 'George Town Festival' yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 28 Julai depan.

Pelaksana Festival George Town 2024 perlu lebih berhati-hati, sensitif isu budaya

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang menasihatkan pelaksana Festival George Town 2024 supaya lebih berhati-hati dan sensitif berhubung budaya dalam kerja mereka selepas ini.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Abdul Mohsein Mohd Shariff berkata, representasi budaya terutamanya dalam konteks penganjuran acara seperti itu perlu bersifat komprehensif dan inklusif sejak awal.

Menurutnya, kekhilafan pihak pelaksana itu perlu dijadikan pengajaran buat semua pihak pada masa hadapan.

"PKR Pulau Pinang kesal dengan isu klip video mempromosikan George Town Festival 2024 yang didapati tidak mengiktiraf warisan budaya masyarakat Melayu. Kekurangan ini tidak mencerminkan kepelbagaian kaum dan budaya sebenar, yang merupakan kebanggaan rakyat Pulau Pinang.

"Sebagai sebuah parti yang terdiri daripada pelbagai kaum, PKR meminta semua pihak yang terlibat untuk memandang serius terhadap isu ini bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, imej kepelbagaian budaya di Pulau Pinang mesti dipelihara dan diraikan dalam semua bahan promosi.

"Berdasarkan makluman, video tersebut sebenarnya merupakan versi draf dan bukan hasil akhir. Saya difahamkan ia telah pun dipadam.

"Bagaimanapun, ia bukan alasan tentang kurangnya kepekaan dan sensitiviti yang ditunjukkan dalam kandungan video tersebut," katanya lagi.

Abdul Mohsein menambah, PKR Pulau Pinang berkeyakinan penuh terhadap kerajaan negeri melalui agensinya iaitu George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) untuk menangani perkara itu dengan penuh ketelusan dan integriti.

"Kami percaya dengan komitmen kerajaan negeri dan GTWHI untuk menegakkan nilai-nilai keterangkuman dan penghormatan terhadap semua komuniti budaya di Pulau Pinang.

"PKR memohon agar semua rakyat Pulau Pinang untuk kekal bertenang dan bersatu hati. Hakikatnya, mutiara sebenar Pulau Pinang adalah pada nilai kebersamaan dan rasa harmoni yang dizahirkan merentasi kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat Pulau Pinang," ujarnya.

Beliau berkata, isu terpencil itu sebenarnya menjadi bukti betapa kasih dan caknanya rakyat Pulau Pinang untuk mempertahankan seni warisan budaya dan cara hidup.

"Kita perlu terus menghargai dan meraikan warisan kita yang kaya untuk dikongsi bersama.

"Bersama-sama kita memastikan kepelbagaian budaya kita kekal sebagai sumber kekuatan dan kebanggaan seluruh rakyat Pulau Pinang," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!