Novel 'Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-dong' laris
KUALA LUMPUR - Grup Buku Karangkraf (GBK) menyasarkan penjualan sebanyak 30,000 naskhah novel Korea yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bertajuk 'Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-dong', sehingga akhir tahun ini.
Pengurus Penerbitan Grup Buku Karangkraf (GBK), Azzah Abdul Rahman berkata, novel terjemahan antarabangsa pertama terbitan Kumpulan Karangkraf di bawah jenama Karangkraf Literature (K-Lit) dilancarkan pada Mei lalu itu, mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila merekodkan jualan sebanyak 4,000 naskah dalam masa kurang sebulan diterbitkan.
Menurutnya, novel yang menjadi naskhah terlaris di reruai Kumpulan Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 lalu itu juga kini sudah dicetak kali kedua.
"Kami jangkakan tahun 2025, pengisian Korea dalam bentuk buku akan menguasai pasaran pula.
"Ini kerana pada tahun ini ada beberapa penerbit tempatan lain yang menerbitkan beberapa judul dari Korea Selatan.
"Isi kandungan karya mereka juga banyak yang sesuai dengan budaya kita berbanding pengisian karya Barat," katanya ditemui pada Majlis Temu Mesra Bersama Penulis Korea Hwang Bo-Reum di MPH Bookstore,The Exchange TRX, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Azzah yang juga penterjemah novel tersebut berkata, pihaknya mengambil kesempatan mengatur sesi berkenaan sebagai sebahagian daripada siri jelajah ke Malaysia dan Singapura yang dirancang oleh penerbit asal buku berkenaan.
Sementara itu, Hwang Bo-Reum ketika sesi berkenaan berkongsi bahawa pengalaman dalam bidang kejuruteraan pengisian membantunya untuk fokus berkarya dalam penulisan meskipun penulisan 'coding' memerlukan bahasa yang berbeza dengan penghasilan novel.
Katanya, selepas dua tahun 'Selamat Datang Ke Kedai Buku Hyunam-dong' diterbitkan, beliau kini dalam proses menyiapkan buku kedua.
"Penulisan 'coding' menggunakan bahasa mesin, sedangkan berkarya memerlukan bahasa manusia. Tetapi kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu saya perlu fokus untuk menyiapkannya.
"Saya pilih konsep kedai buku kerana nak kongsikan dialog yang biasa kita dengar dalam kehidupan harian yang bukan hanya perbualan kosong tapi bermakna," katanya.
Dalam sesi yang merupakan hentian terakhir sebelum pulang ke Korea, beliau turut menzahirkan rasa teruja dan gembira dengan sambutan diberikan pembaca di Malaysia terhadap novel pertama yang dihasilkannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!