'Pengalaman lalu bergabung parti lain beri pengajaran kepada UMNO'

Bung Moktar bertemu dengan ahli UMNO ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang di Kuala Penyu.
Bung Moktar bertemu dengan ahli UMNO ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang di Kuala Penyu.
A
A
A

BEAUFORT - Sebarang bentuk kerjasama UMNO Sabah untuk bergabung dengan parti lain hanya akan dimeterai perjanjiannya sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengalaman lalu bergabung dengan parti lain selepas PRN memberi pengajaran kepada UMNO Sabah untuk lebih berhati-hati memilih parti gabungan yang akan berkerjasama nanti.

"Kita sudah lalui perjanjian yang dibuat selepas PRN lalu untuk membentuk kerajaan. Namun setelah kerajaan dibentuk, UMNO dibaratkan seperti parti melukut di tepi gantang.

"Walaupun UMNO memperoleh lebih banyak kerusi berbanding parti lain, justeru pengalaman ini perlu dijadikan pengajaran dan sebarang bentuk kerjasama bersama gabungan parti lain untuk menghadapi PRN perlu dibuat sebelum pilihan raya berlangsung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, Kuala Penyu, di sini pada Selasa.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO mengakui pada PRN akan datang tidak akan ada parti yang dominan untuk membentuk kerajaan tanpa sebarang gabungan kerjasama dengan parti lain.

Sehubungan itu, beliau berkata UMNO Sabah akan lebih berhati-hari dan hanya menjalinkan kerjasama dengan parti yang menghormati perjanjian dimeterai.

"Kita akan bekerjasama dengan parti politik yang menghormati perjanjian satu sama lain dan memberi manfaat kepada UMNO dan Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga akan melihat rakan-rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah.

"Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang akan membantutkan usaha membangunkan Sabah," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu turut menegaskan, siapa pun gandingan UMNO Sabah nanti akan menjadi faktor kekuatan dan kemenangan kepada calon BN pada pilihan raya akan datang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!