Mohamad promosi MAHA 2024 di Sabah

Mohamad bersama orang ramai dalam salah satu program yang dihadiri sempena Konvoi Jelajah Road To MAHA @Sabah 2024, yang menjelajah ke beberapa lokasi pertanian di Sabah selama tiga hari.
Mohamad bersama orang ramai dalam salah satu program yang dihadiri sempena Konvoi Jelajah Road To MAHA @Sabah 2024, yang menjelajah ke beberapa lokasi pertanian di Sabah selama tiga hari.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran ke-100 tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 pada tahun ini membuktikan keberadaannya seiring revolusi global dalam memacu ekonomi terus megah di persada dunia.

Bermula pada tahun 1923, MAHA kini telah menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti oleh segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini dan penekanan pameran bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, meraikan 100 tahun penganjuran MAHA, kementerian akan memberi penekanan kepada elemen yang akan mengangkatnya ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan serta penyertaan daripada pelbagai negara.

Terbaharu, Mohamad mengetuai Konvoi Jelajah Road To MAHA @Sabah 2024, yang menjelajah kebeberapa lokasi pertanian di Sabah selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Julai di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan berakhir di Sandakan.

Mohamad (empat dari kanan) menyampaikan cek kepada penerima (kanan) Program Pembangunan Pengurusan Teknologi Pertanian secara Lestari dan Pengurusan Pemulihan Tanah Sawah bermasalah bernilai RM1.8 juta.
Mohamad (empat dari kanan) menyampaikan cek kepada penerima (kanan) Program Pembangunan Pengurusan Teknologi Pertanian secara Lestari dan Pengurusan Pemulihan Tanah Sawah bermasalah bernilai RM1.8 juta.



Menurut Mohamad, penganjuran konvoi itu bersempena MAHA 2024 yang akan berlangsung pada 11 hingga 22 September di MAEPS, Serdang, Selangor.

“Bertemakan Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom atau Menuai Harapan Membina Masa Hadapan, mencerminkan aspirasi KPKM untuk menuai kejayaan di masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang diterokai pada hari ini.

“Misi dan objektif program jelajah ini adalah untuk mempromosikan MAHA 2024 sebagai satu ekspo pertanian terbesar merangkumi pameran teknologi terbaharu, pemodenan dan pertanian pintar serta solusi hijau yang akan menentukan arah baru sektor agrikultur Malaysia,” kata Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Program Konvoi Jelajah Road To MAHA @Sabah 2024 melibatkan penganjuran Program Jualan Agro MADANI, Mini MAHA dan Rhytym Of The Farmers di Dataran Harbour Mall, Sandakan sebagai pengisian.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua-Ketua Jabatan, agensi persekutuan dan negeri serta pegawaipegawai kanan kementerian.

Kehadiran yang dinantikan

Menurut Mohamad, konvoi itu dilihat amat signifi kan untuk meningkatkan aktiviti promosi dan memberi kesedaran awal kepada kumpulan sasar terutamanya rakyat Sabah berkaitan MAHA 2024.

Sepanjang tiga hari berada di Sabah, Mohamad mengadakan lawatan kerja rasmi ke Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kota Belud, Desa Dairy Farm di Kundasang dan usahawan pertanian di sekitar daerah Ranau.

Manakala pada hari kedua beliau dan peserta konvoi telah ke Telupid bagi menghadiri program Walkabout Tamu Pekan Telupid dan Penyerahan Pasar Tamu sebelum meneruskan perjalanan ke tapak Majlis Perasmian Road To MAHA @Sabah 2024 di Sandakan.

Mohamad (tengah) menyampaikan bakul sumbangan kepada salah seorang penerima ketika mengadakan lawatan ke Pasar Tamu.
Mohamad (tengah) menyampaikan bakul sumbangan kepada salah seorang penerima ketika mengadakan lawatan ke Pasar Tamu.



Menurut Mohamad, lawatan pertama peserta konvoi ialah ke ke SMART SBB Ala Sekinchan di bawah seliaan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Program SMART SBB di Sabah berjaya meningkatkan hasil daripada 2.8 metrik tan kepada 4.22 metrik tan iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus dan ia juga berjaya menarik minat sebuah kilang tempatan iaitu Kilang Padi Sri Sino Sdn Bhd yang menyasarkan keluasan keseluruhan 100 hektar bagi program ini,” kata Mohamad.

Pada hari kedua pula, Mohamad dan peserta konvoi menghadiri Majlis Penyerahan Pasar Tamu Telupid kepada Majlis Daerah Telupid Sempena Road To MAHA 2024 @ Sabah.

Menurut Mohamad, KPKM menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha mentransformasikan operasi Pasar Tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya.

Dalam lawatan itu, Mohamad mengumumkan pembinaan projek naik taraf Pasar Tamu Telupid telah bermula pada 20 Mac 2023 dan siap sepenuhnya pada 18 Mac 2024 dengan kos RM852,000 sekali gus memberikan peluang dan manfaat kepada 100 orang usahawan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di sini.

Dalam masa sama, turut berlangsung program Jualan Agro MADANI yang menawarkan jualan pelbagai barangan keperluan agromakanan pada harga 10 peratus hingga 30 peratus harga yang lebih murah.

Manfaat penduduk

KPKM juga tidak melupakan golongan nelayan apabila dalam konvoi itu, Mohamad telah menyampaikan beberapa bantuan kepada mereka pada hari ketiga.

Mohamad berkata, nelayan merupakan penyumbang penting dalam memajukan sektor perikanan di kawasan Sabah dan membantu dalam memastikan bekalan makanan dalam negara kita sentiasa cukup dan terjamin.

“KPKM dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memastikan kebajikan nelayan sentiasa terbela.

“Justeru itu, pemberian bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan tetap diteruskan bagi memberi manfaat kepada 38,000 nelayan di seluruh Malaysia dengan peruntukan berjumlah RM136.8 juta.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah 7,502 penerima bantuan adalah nelayan-nelayan di negeri Sabah,” kata Mohamad.

No Image Caption



Beliau berkata, kerajaan turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan lain seperti Program Peningkatan Kapasiti Nelayan B40, Projek Khas Perumahan Nelayan, Skim Perlindungan Keselamatan Nelayan dan Tabung Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

“Kerajaan juga pada tahun ini masih meneruskan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan di mana pada tahun 2024, kuota diesel bersubsidi yang diluluskan adalah sebanyak 70 juta liter sebulan dengan kadar harga subsidi ditetapkan adalah RM1.65 seliter bagi diesel dan petrol.

“Alhamdulillah untuk negeri Sabah, seramai 6,782 nelayan telah menikmati subsidi ini. Selain itu, peruntukan berjumlah RM3 juta telah diluluskan untuk Program Peningkatan Kapasiti Nelayan B40. Di Sabah pula, negeri Sabah, sebanyak RM450,000 telah disalurkan melibatkan kira-kira 30 orang penerima,” katanya.

Mohamad berkata, pada tahun ini, peruntukan sebanyak RM1 juta telah diluluskan untuk Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) negeri Sabah bagi tahun 2024 melibatkan lebih 60 buah rumah nelayan dengan tujuan untuk memberikan kesejahteraan kepada keluarga nelayan agar dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

“Semua insentif ini membuktikan kerajaan amat komited membantu meringankan beban nelayan selain berusaha meningkatkan lagi taraf ekonomi nelayan di negara ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!