Jangan tekan MFL soal hak penyiaran
SEMUA pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) diharap tidak memberi tekanan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung isu penajaan dan hak penyiaran yang bakal dimuktamadkan sebelum 28 Februari ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, semua pihak perlu memahami kesukaran MFL untuk mendapatkan penaja selain mengakui banyak cabaran perlu diharungi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.
"Semua pihak jangan terlalu menekan dan kerana penajaan ini bukan senang dalam keadaan sekarang, kalau ditekan nanti, lagi jadi satu masalah kepada semua.
“Berapa kita akan dapat nanti (jumlah hak penyiaran) tidak jadi satu masalah tetapi kita kena terima sebab MFL sudah buat yang terbaik kepada semua rakan kongsi," katanya.
Perkara sama turut disokong Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman yang mengakui MFL dalam proses melakukan kebangkitan selepas banyak cabaran yang dilalui sepanjang musim 2019.
“Banyak cabaran yang berlaku tahun lalu dan Felda United memahami kesukaran dialami MFL, malah saya rasa semua rakan kongsi juga bersedia membantu jika diperlukan.
“Mengenai hak penyiaran, saya juga harap siaran langsung akan turut disiarkan di saluran televisyen juga supaya turut meliputi semua masyarakat serta komuniti dan secara tidak langsung menarik lebih banyak penaja, " katanya.
Sebelum ini, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan, penaja utama dan hak penyiaran Liga-M 2020 akan dimuktamadkan awal bulan depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!