[VIDEO] Polis bantuan tumbuk isteri dijel dua minggu, denda RM2,000

A
A
A

MELAKA - Gara-gara tumbuk isteri disebabkan pertikaian wang gaji, seorang polis bantuan dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Mohd Haniff Zainuddin, 48, mengaku bersalah memukul isterinya yang bekerja sebagai kerani minggu lalu.

Khairunnisak turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mohd Haniff (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Mohd Haniff (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan cedera kepada isterinya, Nooryati Mohd Ghani, 45, di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Indah, di sini, pada kira-kira jam 7.30 malam, 12 Julai lalu.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu yang merupakan isterinya berada di rumah telah berlaku perselisihan faham antara mereka kerana tertuduh mempertikaikan penggunaan duit gaji pengadu yang bekerja sebagai kerani.

Tertuduh kemudian telah bertindak menumbuk bahagian muka pengadu sehingga cedera dan menyebabkan pengadu terpaksa menerima rawatan di bahagian Kecemasan Hospital Melaka.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar bagaimanapun memohon hukuman lebih berat atas faktor tertuduh dan mangsa merupakan suami isteri selain keterangan saksi menunjukkan ia bukanlah kejadian pertama yang dihadapi mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menginsafi kesalahan yang dilakukan berpunca dari sikap cemburunya dan tidak sanggup hidup tanpa isterinya.

Mahkamah kemudian memutuskan hukuman penjara dua minggu dari tarikh ditangkap pada 13 Julai lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!