Suara wanita bukan aurat, tapi boleh berubah sebaliknya dalam keadaan tertentu

JUMHUR ulama menyatakan, suara wanita bukanlah aurat sebagaimana yang ramai sangkakan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
JUMHUR ulama menyatakan, suara wanita bukanlah aurat sebagaimana yang ramai sangkakan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

ACAP kali kita mendengar orang mengatakan suara wanita adalah aurat. Demikian pernyataan yang berlegar-legar daripada insan di sekeliling kita.

Hakikatnya, pendakwah Ustazah Asma’ Harun menegaskan, jumhur ulama menyatakan sebaliknya iaitu suara wanita bukanlah aurat sebagaimana yang ramai sangkakan.

USTAZAH ASMA'
USTAZAH ASMA'

“Suara wanita tidak aurat. Bayangkan (setiap kali) kita hendak bermuamalat iaitu bekerja, berurusan dan berjual beli dengan lelaki hari-hari.

“Bahkan, dalam urusan telefon pihak itu dan ini juga melibatkan kaum Adam. Jadi, suara perempuan tidak aurat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikannya di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Bagaimanapun, jelas penceramah terkemuka itu, suara wanita boleh berubah menjadi aurat, bahkan makruh, haram dan mendatangkan dosa jika perempuan tersebut berkata lembut disulami nada manja dengan lelaki ajnabi (asing).

Ia sebagaimana ditekankan menerusi firman ALLAH SWT: “Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk (melemah-lembutkan suara) dalam berbicara sehingga membangkitkan nafsu orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (Surah al-Ahzab: 32)

Artikel Berkaitan:

“Benar, ALLAH buat suara wanita lembut. Memang lembut daripada lelaki, tetapi apabila kita bercakap dengan lelaki ajnabi, kena keraskan sedikit suara itu.

“Bukanlah bermaksud kita perlu berkasar seperti berkata ‘weh, engkau apa ini’, tetapi sekurang-kurangnya janganlah berkata lembut-lembut manja ketika bercakap dengan lelaki asing.

“Ini kerana keadaan itu boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya untuk tujuan yang buruk dan sebaliknya. Sebaiknya, berkata-katalah dengan ungkapan yang baik, sesuai dan sopan,” terangnya panjang lebar.

WANITA tidak boleh bercakap lemah lembut, manja dan bergelak tawa dengan lelaki asing sama sepertimana kita berbicara dengan suami sendiri dan rakan-rakan perempuan masing-masing. -Foto: Canva
WANITA tidak boleh bercakap lemah lembut, manja dan bergelak tawa dengan lelaki asing sama sepertimana kita berbicara dengan suami sendiri dan rakan-rakan perempuan masing-masing. -Foto: Canva

Pendek kata, ujar Ustazah Asma’, wanita tidak boleh bercakap lemah lembut, manja dan bergelak tawa dengan lelaki asing sama sepertimana kita berbicara dengan suami sendiri dan rakan-rakan perempuan masing-masing.

Apabila kaum Hawa bersuara lembut dan manja dengan lelaki asing, jelas beliau, ia boleh menimbulkan fitnah mahupun menaikkan syahwat mereka.

“Sebagai contoh, suara wanita yang dilenggokkan oleh penyanyi mahupun penasyid. Walaupun membawakan lagu ketuhanan, tetapi apabila suara itu dilunak, dimerdu dan dilengok-lenggokkan, para lelaki yang mendengar bukan mendekatkan diri kepada ALLAH atau mendatangkan keinsafan.

“Sebaliknya ia membuai-buai perasaan, mulalah layan perasaan ‘oh, sedapnya’. Ia boleh mengeraskan hati dan menimbulkan titik hitam pada hati yang mendatangkan dosa.

“Kalaulah lelaki itu ataupun wanita sendiri tidak mampu mengawal hatinya, ia boleh memicu kepada maksiat. Na’uzubillahi min dzalik,” ungkapnya.

Justeru, Ustazah Asma’ mengingatkan agar kita sentiasa berhati-hati dalam menuturkan bicara dengan insan di sekeliling.

WANITA boleh bersuara lembut, manja dan bergelak tawa dengan suaminya sendiri, tetapi tidak dengan lelaki asing kerana ia boleh menimbulkan fitnah mahupun menaikkan syahwat. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
WANITA boleh bersuara lembut, manja dan bergelak tawa dengan suaminya sendiri, tetapi tidak dengan lelaki asing kerana ia boleh menimbulkan fitnah mahupun menaikkan syahwat. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Biarlah kita (bercakap) dengan lelaki, orang kata ‘kasarnya’. Ia lebih baik daripada bertutur manja. Lebih elok dianggap kasar daripada kita tidak pandai bawa diri.

“Contohnya beri salam pada lelaki, ‘Assalamualaikum ustaz’. Ia berbeza dengan kita ucap ‘Assalamualaikum ustazzz’ dengan nada lembut dan manja.

“Kita yang dengar pun boleh naik bulu roma. Jangan begitu. Ingatlah, jagalah suara perempuan, ia boleh jadi aurat jika tidak kena caranya,” titipnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!