Jenazah Nur Farah Kartini masih belum dituntut

Suasana di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini pada Rabu.
Suasana di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Ahli keluarga kepada mangsa bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, masih belum tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh dekat sini bagi urusan tuntutan jenazah Allahyarham pada Rabu.

Pengamal media sebelum itu dimaklumkan menerusi kiriman WhatsApp abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, yang menyatakan urusan berkenaan dijangka dilakukan selepas pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ibu mangsa di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata, tidak dapat memberikan kepastian waktu sebenar untuk melaksanakan urusan tuntutan jenazah.

"Kami perlu selesaikan urusan pengambilan sampel DNA ibu di Hospital Kuala Kubu Bharu.

"Saya tak pasti lagi jam berapa boleh datang ke Jabatan Forensik untuk tuntut jenazah," katanya pada Rabu.

Mohd Farriza Amir berkata, tidak dapat berkongsi maklumat lanjut berhubung urusan pengebumian jenazah adiknya itu.

"Apa yang saya boleh katakan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Pahang, butiran berkaitan saya akan kongsi bila tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh," katanya.

Sebelum ini media melaporkan proses bedah siasat ke atas mayat Nur Farah Kartini yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh selesai pada jam 6.10 petang pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang, pada Isnin.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak ditahan dan direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!