[VIDEO] Telefon bimbit Nur Farah Kartini ditemukan dalam parit
HULU SELANGOR - Sebuah telefon bimbit dipercaya milik mangsa, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ditemukan dalam parit, berhampiran lokasi mayat mangsa ditemukan di Kampung Sri Kledang, Felda Gedangsa.
Telefon berkenaan ditemui sekitar jam 12.20 tengah hari selepas lebih sejam unit siasatan forensik sub akuatik memulakan pencarian dalam air.
Terdahulu, suspek yang disyaki terlibat kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dibawa ke lokasi berkenaan sekitar jam 11.40 pagi.
Lelaki berusia 26 tahun berpakaian lokap bewarna oren serta bergari berada di lokasi sekitar lima minit dengan dikawal ketat anggota polis.
Operasi pencarian bahan bukti melibatkan PDRM dari unit siasatan forensik sub akuatik serta Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Kubu Baharu serta dibantu bomba sukarelawan Felda Gedangsa.
Anggota JBPM dilihat mengepam air parit di ladang kelapa sawit sebelum unit forensik memulakan pencarian dalam air sekitar jam 11 pagi.
Mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu, ditemui pada Isnin, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Rentetan daripada itu, suspek merupakan seorang anggota polis ditahan bagi membantu siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!