Penamat Pan-gon ibarat 'Running Man'

Pan-gon. Gambar kecil: Dr Pekan
Pan-gon. Gambar kecil: Dr Pekan
A
A
A

SAYA cuba memujuk hati untuk menerima alasan perletakan jawatan Kim Pan-gon ini atas komitmen peribadi, namun 'instinct' saya kuat menyatakan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan perletakan jawatan pengendali skuad bola sepak negara kelahiran Korea Selatan itu secara tiba-tiba pada Selasa.

Tambahan pula bagi saya keputusan Pan-gon boleh diibarat 'lari malam' kerana tugasnya bersama Harimau Malaya masih belum selesai.

Ternyata dalam tempoh 24 jam perletakan jawatan Pan-gon berlaku suasananya agak panas dengan pelbagai spekulasi kepada punca utama perletakan jawatan itu.

Kenyataan Pan-gon tentang keengganan menyatakan sebabnya kerana 'dangerous' menimbulkan persoalan dan perasaan ingin tahu yang sangat kuat untuk warga bola sepak negara.

Malah kenyataan ini sebenarnya bagaikan ditujukan kepada pihak-pihak tertentu dan sudah pasti ini boleh menyinggung perasaan sesiapa sahaja yang tidak senang dengan kenyataan tersebut.

Namun tidak sampai 24 jam juga Pan Gon tiba-tiba menafikan maksud sebenar 'bahaya' itu tidak seperti apa yang dibayangkan oleh semua komuniti bolasepak negara tetapi ianya merujuk kepada hal berkaitan taktikal pasukan. Entahlah, ini juga mungkin salah satu episod dalam drama Korea yang terpaksa kita tonton.

Apa pun, memang kita tahu pokok sudah beberapa kali dilihat bergoyang, cuma sering dinafikan itu angkara angin. Akhirnya pokok itu yang 'mati beragan' hingga akhirnya tumbang tersungkur di bumi dengan menyimpan rahsianya yang tersendiri.

Apakah akan terbongkar segala rahsia dan cerita sebenar selepas ini? Itu juga suatu persoalan yang masih melingkari komuniti bola sepak negara.

Artikel Berkaitan:

Namun saya percaya orang baik seperti Pan-gon dan dengan prinsip mulia bangsa 'Korea' ini sudah pastilah ia akan mengunci mulut, 'biarlah rahsia itu tetap rahsia'.

Bagi Pan-gon mungkin tiada gunanya membuka aib dan memporak-porandakan bola sepak Malaysia yang beliau amat sayangi ini.

Apa pun kita ucapkan terima kasih kepada Pan-gon. Ibarat Orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Dia sama seperti kita, luluh hatinya tatkala penyerang kesayangannya, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Kisah bintang Korea berambut kerinting ini pasti tidak akan dilupakan penyokong bola sepak Malaysia dan Korea.

Penamatnya bagaikan siri 'variety' televisyen Korea 'Running Man' yang jatuh merudum apabila pelakon kegilaan rakyat Malaysia, (Pan-gon) mengumumkan menarik diri dari siri seterusnya. Begitulah berakhirnya cerita suka duka jurulatih sensasi Harimau Malaya ini.

Biarpun populariti Pan-gon menawan hati peminat bolasepak negara, namun secara keseluruhan dia antara jurulatih asing yang 'gagal' membawa Malaysia ke Piala Dunia.

* Datuk Dr Pekan Ramli, Penganalisis Sukan Tanah Air

@sinarharianonline

Penamat Pan-gon ibarat 'Running Man' - Dr Pekan #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Pendapat #Sukan #BolaSepak #KimPanGon

News - AShamaluevMusic

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!