Garis panduan tangani deepfake dijangka siap sebelum hujung tahun

Fazidah (kanan) melihat demonstrasi penggunaan sistem DDMS selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran DDMS 2.0 MDBG di Dewan Bandaran Kinta di sini pada Rabu.
Fazidah (kanan) melihat demonstrasi penggunaan sistem DDMS selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran DDMS 2.0 MDBG di Dewan Bandaran Kinta di sini pada Rabu.
A
A
A

BATU GAJAH - Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AI) Negara yang bakal membendung pelbagai isu teknologi AI termasuk 'deepfake' dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, Dr Fazidah Abu Bakar berkata, Kementerian Digital bersama Kementerian Komunikasi sedang memperhalusi garis panduan berkenaan sebelum dimuktamadkan.

Menurutnya, beberapa proses perlu dilalui ketika merangka garis panduan tersebut yang akan diguna pakai oleh semua pihak sama ada penyedia platform mahupun orang ramai.

"Kita sekarang ini tiada panduan khusus. Kalau ada panduan khusus itu kita perlu lihat semua aspek sama ada kepada penyedia platform dan rakyat juga. Garis panduan itu berkaitan dengan etika, integriti dan melibatkan semua sasaran yang sedang dalam perbincangan.

"Garis panduan ini sekarang dalam proses pemurnian dan kita jangkakan sebelum hujung tahun ini kita akan dapat," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Dokumen Digital (DDMS) 2.0 Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) di Dewan Bandaran Kinta di sini pada Rabu.

Hadir sama Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Arkib Negara, Zaidin Mohd Noor dan Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan aplikasi digital dipacu AI yang dikenali sebagai deepfake, kini semakin banyak dimanipulasi bagi menghasilkan imej, audio atau video palsu individu terkenal di dalam dan luar negara bagi melakukan penipuan.

Artikel Berkaitan:

Melalui teknologi baharu itu, pelaku boleh menghasilkan imej palsu menyerupai wajah sebenar mangsa hingga sukar untuk membezakan antara yang asli dan palsu.

Penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza turut meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik scammer yang didakwa menggunakan teknologi deepfake AI bagi meniru suara dan wajahnya demi mengaut keuntungan.

Akhbar ini pada Selasa turut melaporkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menjadi mangsa teknologi deepfake AI terbabit.

Sementara itu mengenai DDMS 2.0, Fazidah berkata, MDBG merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak dan PBT ke tiga di negara ini yang menggunakan sistem berkenaan.

Beliau percaya dengan adanya sistem tersebut mampu meningkatkan lagi usaha penyampaian perkhidmatan di MDBG selain menarik minat lebih banyak PBT untuk menggunakannya.

"Tujuan DDMS ini kita perluaskan ke agensi-agensi supaya rekod-rekod dokumen mereka dapat didigitalkan daripada mula kita terima dokumen itu sehingga kepada pelupusan. Kita sebenarnya buat masa ini bergerak untuk mempromosikan lebih hebat.

"Akan datang kita jangka akan banyak jabatan dan agensi yang akan menggunakan sistem ini. Kita tidaklah hendak wajibkan tetapi promosi dan penggunaan nampak manfaatnya, banyak agensi berminat dan kita harap semua agensi guna,"katanya.

Fazidah berkata, sehingga kini sebanyak 367 agensi di peringkat perseketuan dan negeri yang menggunakan DDMS tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!