'ADUN Rembia sudah lama sertai Pas cuma tidak isytihar' - Mohd Amar
KOTA BHARU - Tiada isu berbangkit mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang diumumkan menyertai Pas pada Selasa.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ADUN daripada UMNO itu sudah lama bersama Pas tetapi tidak diisytiharkan berikutan faktor tertentu.
"Sebenarnya sudah lama (sertai Pas) cuma kita tidak isytihar sahaja, sudah diluluskan tetapi kita tidak buat perisytiharan kerana faktor taktikal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kilang Paip Kel-Intaaj Sdn Bhd di sini pada Rabu.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Hadir sama, Pengerusi Duramine Sdn Bhd, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Sementara itu, Mohd Amar memberitahu, Muhamad Jailani menyertai Pas dalam tempoh sebulan sebelum Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan.
Menurut beliau lagi, penyertaan wakil rakyat dalam UMNO itu juga merupakan satu perkembangan yang baik kepada Pas.
Ketika ditanya kemungkinan masih ada wakil rakyat UMNO yang akan menyertai Pas, Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan tidak menolak kemungkinan berkenaan.
"Kita tengoklah," katanya ringkas.
Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai parti itu secara rasmi.
Menurut Takiyuddin, keahlian Muhamad Jailani diterima pada 10 Jun tahun lalu dan keputusan digantung keahlian UMNO selama enam tahun itu tidak dianggap sebagai lompat parti.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar memberitahu, Perikatan Nasional (PN) akan memilih calon yang boleh menang dan bukan berdasarkan faktor usia pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Bagaimanapun jelas beliau, setakat ini belum ada keputusan kerana masih dalam perbincangan di peringkat PN pusat.
"Isunya bukan calon muda atau tua. Sejak dahulu lagi kita pilih 'winnable candidate'.
"Jadi tengok siapa yang boleh menarik sokongan majoriti dan boleh beri kemenangan kepada parti, itu yang penting. Isu umur bukan utama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!