Maybank Trustees medium wanita pelajari ilmu kewangan, pengurusan harta pusaka

Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Trustees Berhad, Nor Fazlina Mohd Ghouse ketika program bual bicara 'Sis dan Ringgit' yang diadakan di Bangunan Darul Ehsan, di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Trustees Berhad, Nor Fazlina Mohd Ghouse ketika program bual bicara 'Sis dan Ringgit' yang diadakan di Bangunan Darul Ehsan, di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Ilmu selepas persaraan, kewangan, pencairan aset dan pengurusan harta pusaka buat kaum wanita antara topik yang diketengahkan menerusi segmen bual bicara ‘Sis dan Ringgit’ pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Berhad, Nor Fazlina Mohd Ghouse berkata, ia amat penting sebagai persiapan memasuki usia senja memandangkan kaum Hawa juga memikul tanggungjawab penting dalam menguruskan perihal kewangan sekiranya ketua keluarga sudah tiada.

Menurut beliau, berdasarkan statistik dan perubahan, wanita cenderung hidup lebih lama berbanding kaum lelaki.

“Perempuan hidup lebih lama daripada lelaki, tetapi adakah mereka hidup dengan selesa? Itu persoalannya.

“Apakah perancangan yang kaum wanita ingin ambil bagi memastikan kebajikan keluarga dan anak-anak terjaga kalau suami atau ketua keluarga dah meninggal dunia.

“Justeru, program ini memastikan mereka dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang perancangan sebelum sehingga selepas bersara,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bangunan Darul Ehsan, di sini.

Nor Fazlina (dua dari kanan) dan Erma Fatima (kanan) ketika sesi perkongsian. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
Nor Fazlina (dua dari kanan) dan Erma Fatima (kanan) ketika sesi perkongsian. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB

Antara panelis yang hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Cahaya Hawwa (Percaya), Raja Mariam Hairudin bersama penasihatnya, Nur Azah dan Pengarah merangkap Penerbit filem tersohor tanah air, Erma Fatima.

Artikel Berkaitan:

Nor Fazlina memaklumkan, salah faham mengenai konsep wasiat dan Fara’id turut ditekankan dalam perkongsian kali ini kerana rata-rata menganggapnya satu perkara yang buruk sedangkan ia sangat membantu wanita mempertahankan hak masing-masing.

Tambah beliau, pihaknya terbuka untuk menjadi perunding atau pelaksana yang mengendalikan urusan pencairan aset dan liabiliti sebelum memperoleh wasiat serta Fara’id.

Ditanya mengenai kolaborasi dengan Percaya, Nor Fazlina berpandangan, kedua-dua entiti terbabit berkongsi misi yang sama iaitu memberikan kesedaran tentang literasi kewangan di kalangan wanita.

“Kami mahu mendidik wanita bahawa literasi kewangan bukan sahaja tentang duit, tetapi pengurusan aset juga.

“Jadi, kami percaya dengan kerjasama ini yang selari dengan misi iaitu memperkasakan wanita,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!