LZS anjur program Bizjihad, kongsi pengalaman tokoh perniagaan
SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan program Bisnes, Zakat dan Jihad (Bizjihad) sebagai platform menyatupadukan pembayar-pembayar zakat di bawah selian LZS bagi menerima manfaat antara satu sama lain.
Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun berkata, objektif program berkenaan diadakan adalah untuk menghargai pembayar zakat dengan mengadakan sesi perkongsian daripada tokoh pemain industri perniagaan dan usahawan selebriti.
“Bizjihad adalah program baharu di bawah inisiatif LZS yang kita namakan sebagai Muzaki (pembayar zakat) Circle. Menerusi program ini, kita bukan sahaja mahu pembayar zakat mengeluarkan zakat tetapi turut mahu mereka menerima manfaat.
“Manfaat dalam konteks ini adalah berkongsi pandangan, pengalaman dan cara dalam mengembangkan perniagaan ke jalan yang diredai ALLAH SWT,” katanya ketika ditemui dalam Program Bizjihad Siri keempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Dalam pada itu, Muhd Fikri memberitahu, kebanyakan peserta yang mengikuti program berkenaan adalah terdiri daripada mereka yang pernah mengikuti siri-siri sebelum ini.
Menurutnya, mereka melihat hasil daripada perkongsian bersama tokoh perniagaan dan usahawan selebriti itu telah menyuntik semangat untuk lebih berdaya maju dalam menguruskan perusahaan serta perniagaan.
“Tambahan pula, mereka lebih selesa mengikuti program ini kerana ia eksklusif (tidak melibatkan ramai peserta). Setiap siri, kita hanya buka kepada 100 orang peserta sahaja.
“Alhamdulillah, di sebalik program ini, LZS juga berjaya menarik usahawan-usahawan untuk menjadi sebahagian daripada pembayar Zakat Selangor. Di sini, ada yang mula bayar dan ada yang tambah amaun pembayaran zakat,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai Bizjihad Siri Keempat, Muhd Fikri berkata, LZS menjemput Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Pengasas Suka Sucre, Datuk Fazley Yaakub.
Jelas beliau, Hussamuddin sesuai untuk diangkat menjadi tokoh pemain industri perniagaan kerana berjaya menjadi usahawan pada usia muda.
“Datuk Hussamuddin merupakan individu membayar zakat bersama LZS. Jadi alangkah baiknya jika kita memanfaatkan inisiatif ini dengan mendengar perkongsian daripada beliau,” kata Muhd Fikri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!