Tiada dokumen Guan Eng batal pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary - Saksi

Guan Eng dan Muhyiddin (kanan).
Guan Eng dan Muhyiddin (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa, tiada dokumen yang menunjukkan bekas Menteri Kewangan, Lim Gua Eng membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Al-Bukhary semasa memegang jawatan itu.

Ketua Seksyen Bahagian Cukai di Kementerian Kewangan, Hazlan Abdul Aziz berkata demikian ketika perbicaraan hari ketiga kes saman Guan Eng terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pembatalan pengecualian cukai yayasan itu.

Hazlan yang juga saksi kedua untuk Muhyiddin selaku defendan berkata, tiada surat dikeluarkan oleh Guan Eng yang mengatakan Kementerian Kewangan tidak mengiktiraf pengecualian cukai kepada yayasan antara 2018 hingga 2020.

Sementara itu, ketika disoal peguam, Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin, saksi itu berkata, pihaknya telah menerima surat rayuan daripada Yayasan Al-Bukhary, bertarikh 5 Februari 2021, 20 hari kemudian.

Susulan surat berkenaan katanya, menteri kewangan (semasa pemerintahan Pakatan Nasional), bersetuju untuk mengecualikan cukai taksiran tambahan yang dikenakan ke atas 27 anak syarikat kumpulan Albukhary berjumlah RM426.39 juta.

“LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) memaklumkan telah melakukan audit terhadap semua anak syarikat itu yang mana surat tuntutan telah diberikan terus kepada syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.

Menurut surat itu, LHDN membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf surat-surat kelulusan Kementerian Kewangan dalam tempoh itu walhal cukai kredit telah digunakan oleh syarikat-syarikat terbabit pada tahun-tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, yayasan berkenaan memohon rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai tersebut ke atas 27 syarikat korporat terbabit.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, seramai dua saksi termasuk Ahli Parlimen Pagoh hadir memberi keterangan manakala Guan Eng selaku plaintif memanggil tiga saksi termasuk dirinya.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan 12 September depan untuk hujahan itu.

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook yang melibatkannya berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Laporan mengenai perkara itu kemudiannya diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan fitnah terbabit, memberi gambaran bahawa beliau menyalahguna kedudukan dengan mengarahkan LHDN mengenakan cukai/ penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!