Bung Moktar ajak Rafizi pergi kawasan miskin tegar di Sabah

Bung Moktar (kiri), Rafizi
Bung Moktar (kiri), Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli Parlimen kerajaan mengajak Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk mengadakan lawatan di kawasan miskin tegar di Sabah bagi melihat sendiri tahap kemiskinan rakyat di negeri berkenaan.

Pelawaan itu dibuat Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) susulan tidak berpuas hati dengan kaedah mengukur kemiskinan tegar di negeri antara yang termiskin di Malaysia itu.

"Saya ingin tanya Yang Berhormat Menteri Ekonomi, macam mana ukuran tafsiran ekonomi di Sabah dan Semenanjung. Saya rasa Yang Berhormat ada tersilap sedikt tafsir dan saya rela bawa yang Berhormat dua tiga hari tour (lawat) kawasan miskin tegar di Sabah. Biar nampak gambaran macam mana corak kemiskinannya.

"(Dengan) jalan raya tidak ada, elektrik dan air. Jadi saya tidak tahu Sabah ada cuma 6,000 (dan angka) itu menjadi penghinaan besar kepada orang-orang miskin di Sabah. Kalau tidak percaya saya bawa sendiri Yang Berhomat dan pegawai turun.

"Jadi, saya minta Yang Berhormat berikan bagaimana ukuran kemiskinan di Sabah itu dilaksanakan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Bilangan isi rumah di bawah miskin tegar di Sabah meliputi 38 peratus atau 6,937 daripada jumlah keseluruhan 18,445 isi rumah di Malaysia.

Menjawab soalan asal Bung Moktar berhubung langkah-langkah kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah, Rafizi berkata, sebanyak tujuh daripada 10 daerah termiskin di seluruh negara juga direkodkan di negeri berkenaan.

Menurut beliau, pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan di Sabah juga lebih tinggi iaitu RM1,218 sebulan berbanding kadar nasional sebanyak RM1,198.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, risiko isi rumah di Sabah untuk berada dalam kategori miskin tegar adalah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Berdasarkan senarai insiden kemiskinan tegar mengikut daerah termiskin di Sabah, paling tinggi di Tongod 5.9 peratus. Kalau kita bandingkan di peringkat nasional hanya 0.2 peratus.

“Beluran (lima peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (empat peratus), Tuaran (2.6 peratus), Ranau (2.4 peratus) dan Lahad Datu (2.4 peratus),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!