Ahli Parlimen wajib jalani pemeriksaan kesihatan
SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selewat-lewatnya pada 11 November 2024.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, mana-mana Ahli Dewan Rakyat gagal berbuat demikian, nama mereka akan dipaparkan di laman web Parlimen.
"Tanpa pengecualian. Surat mengenai pemeriksaan kesihatan itu sudah diedarkan kepada Yang Berhormat.
"Pemeriksaan kesihatan ini akan dilaksanakan oleh Klinik Kesihatan Parlimen atau di fasiliti swasta.
"Maklumat lanjut mengenai pemeriksaan ini terkandung dalam surat tersebut. Pemeriksaan kesihatan ini adalah wajib dijalani oleh semua Yang Berhormat dan tarikh akhir menjalaninya pada Isnin, 11 November 2024," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Johari memaklumkan pada tahun lalu, pemeriksaan kesihatan sama dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sangat membantu dalam mengesan tahap kesihatan ahli Parlimen serta membolehkan langkah pencegahan segera diambil.
Tambah beliau, sebarang pertanyaan mengenai pemeriksaan kesihatan berkenaan boleh diajukan kepada Ketua Klinik Kesihatan Parlimen Malaysia, Datuk Dr Murugesu Raju.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!