[VIDEO] Tiga meriam berusia lebih 100 tahun ditemukan di Dungun, Setiu
KUALA TERENGGANU - Tiga laras meriam yang dipercayai berusia lebih 100 tahun ditemukan di dua daerah iaitu Dungun dan Setiu.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, bagaimanapun asal usul meriam itu belum dapat dipastikan.
Menurutnya, satu laras meriam dijumpai dengan kedudukan sedalam kira-kira satu meter dalam tanah di bekas tapak balai polis lama di Dungun ketika kerja-kerja pembangunan dilakukan pada 26 November 2023.
Katanya, dua lagi laras meriam dijumpai oleh syarikat kontraktor pembinaan benteng pemecah ombak di Kuala Setiu, Setiu pada 21 Januari lepas.
"Satu laras meriam berukuran kira-kira 1.83 hingga 2.13 meter dijumpai di Dungun dengan keadaan fizikal meriam masih berada dalam keadaan baik susulan dijumpai di atas darat namun ia agak berkarat pada sebahagian badannya.
"Selain itu, dua laras meriam yang berukuran kira-kira 1.83 hingga 2.13 meter dijumpai sedalam tiga meter dalam air di Kuala Setiu. Keadaan meriam itu sudah berkarat dan bersalut tebal.
"Jadi dengan keadaan fizikal kedua laras meriam yang agak berkarat itu sudah tentu mengambil masa untuk dibuat konservasi," katanya ketika ditemui pemberita di Muzium Negeri Terengganu di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Che Muhamad Azmi berkata, tiga laras meriam yang dijumpai itu kini diletakkan di Muzium Negeri Terengganu untuk proses konservasi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya setakat ini telah menemukan 10 laras meriam sejak 2012.
"Di Terengganu, kita menjumpai meriam buatan dari pelbagai negara termasuk Portugis, Belanda dan Perancis.
"Setakat ini tiga laras meriam yang dijumpai ini tidak menunjukkan lagi tanda-tanda (buatan dari negara mana). Insya-ALLAH... selepas kita buat pemuliharaan dan pembersihan mungkin dapat tahu asal usul ketiga-tiga meriam ini dari mana," ujarnya.
Sementara itu, Konservator Muzium Negeri Terengganu, Alisa Abdul Wahab menyatakan proses untuk membersihkan meriam itu bergantung kepada ketebalan dan kerosakan sesuatu meriam tersebut.
"Konservasi ini pertama sekali melibatkan kerja-kerja pembersihan keseluruhan permukaan meriam ini. Kita buang selaput karat yang ada pada besi.
"Jadi proses itu akan bergantung pada ketebalan atau kerosakan meriam itu. Untuk proses membuang karat pada meriam itu mengambil masa lebih kurang dalam sebulan," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!