Gajikan PATI RM150 sebulan, majikan didenda RM10,000

 Seorang majikan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu, kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan bayaran RM150 sebulan.
Seorang majikan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu, kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan bayaran RM150 sebulan.
A
A
A

MELAKA - Seorang majikan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu, kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan bayaran RM150 sebulan.

Hakim Azaraorni Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, B.R Veraiah, 42, yang mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah mengambil kerja Machakkalai Chinnakkannu yang bukan warganegara atau tidak memiliki suatu pas yang sah.

Perbuatan itu dilakukan di ladang sawit Lot 6689 Jalan Jasin, Felda Kemendor, Jasin, kira-kira jam 9.45 malam 23 Mei lalu.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum 12 bulan bagi setiap seorang yang diambil bekerja, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah mengambil pengadu yang merupakan warganegara India bekerja sebagai pembantu menguruskan Ladang Sawit Seri Kemendor dan tinggal di rumah kongsi dalam ladang berkenaan.

Pengadu hanya menerima pendapatan RM150 sebulan dan telah menerima RM750 sepanjang lima bulan bekerja dengan tertuduh tanpa diberikan sebarang slip gaji.

Tertuduh juga telah membantu pengadu mengirimkan wang sebanyak RM300 kepada isterinya di India setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Mei lalu, berlaku perselisihan faham antara pengadu dan tertuduh membuatkan pengadu keluar dari ladang sawit dan berjumpa dengan seorang lelaki India yang membawanya ke Balai Polis Jasin untuk membuat laporan.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana menghidap sakit jantung selain isteri yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau enam bulan jika gagal bayar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!