Penggunaan racun pertanian dipantau untuk keselamatan makanan

Arthur
Arthur
A
A
A

YAN - Penggunaan racun oleh petani atau peladang sentiasa dipantau oleh Jabatan Pertanian kerana penggunaannya terhadap barangan makanan melibatkan keselamatan pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, selain pemantauan berkala, pihaknya turut menguatkuasakan kawalan menerusi beberapa peraturan ditetapkan.

Menurutnya, sekiranya disalah guna atau melanggar apa-apa peraturan atau undang-undang berkaitan penggunaan racun pertanian, tindakan boleh diambil terhadap individu terlibat.

“Kita ada prosedur untuk pendaftaran racun. Ia akan melalui prosedur seperti proses kajian keselamatan, kajian dalam makmal dan sebagainya.

“Hanya racun yang diiktiraf sebagai selamat sahaja diberikan sijil dan kelulusan untuk digunakan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan geran bernilai lebih RM1.1 juta kepada 61 usahawan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA F-IV Sungai Limau pada Rabu.

Arthur berkata, keselamatan keterjaminan makanan turut melibatkan keselamatan makanan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan makanan itu sentiasa selamat untuk pengguna.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penggunaan racun tidak berdaftar oleh segelintir golongan petani dan pekebun untuk menghalau haiwan perosak.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan insiden dua beradik berusia dua dan tiga tahun maut setelah termakan makanan ringan yang mengandungi racun tikus dalam kejadian di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.

Artikel Berkaitan:

Selang beberapa hari selepas kejadian tersebut, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun pula nyaris maut selepas termakan biskut dicampur racun di sebuah kebun, di Kemaman, Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!