Perundangan baharu kawal selia badan berkanun Persekutuan diperkenal

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu perundangan baharu akan diperkenalkan kerajaan bertujuan mengawal selia badan berkanun Persekutuan (BBP) serta syarikat-syarikat di bawahnya.

Perkara itu antara tujuh dasar dan inisiatif melibatkan pengukuhan tatakelola serta reformasi perundangan diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, ke arah meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, mesyuarat turut memutuskan untuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EIAC) menubuhkan pasukan khas bagi pelaksanaan syor-syor Jawatankuasa Kajian Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan Dan Mengenal Pasti Cadangan Langkah Pencegahan.

Ia berkaitan aspek penambahbaikan perundangan, prosedur operasi standard (SOP) dan infrastruktur untuk diteliti oleh entiti kawal selia serta dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing-masing.

Selain itu, Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat akan digubal bagi memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

"Langkah ini diambil bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkat melalui penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS)," katanya.

Mesyuarat turut memutuskan penggubalan RUU Perolehan Kerajaan bagi mewujudkan mekanisme aduan dan bantahan selaras dengan piawaian antarabangsa bagi memperkasa tatakelola perolehan kerajaan secara perundangan selaras dengan NACS.

"Sejak peluncuran NACS pada Mei lalu, kerajaan telah memperkenalkan 60 substrategi nasional yang membuktikan kesungguhan dan komitmen dalam membanteras rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Selaras dengan aspirasi nasional untuk membangunkan Malaysia Madani, matlamat kita adalah untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terpelihara tanpa gejala rasuah," jelas pejabat itu.

NACS menekankan salah satu daripada strateginya adalah pendidikan sebagai teras utama dalam usaha membudayakan nilai-nilai murni bagi mengelak diri dari terjebak dengan unsur rasuah.

Usaha ini dizahirkan melalui penambahbaikan pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dan diperluas ke semua Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Selain itu, NACS juga menyarankan supaya Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dimanfaatkan untuk menggalakkan tatakelola baik dalam sektor swasta," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!