Pengurusan Perak FC masih percayakan Yusri

Kenyataan rasmi Abdul Azim mengenai sokongan terhadap Yusri yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Perak FC pada Rabu.
Kenyataan rasmi Abdul Azim mengenai sokongan terhadap Yusri yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Perak FC pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Pengurusan Perak FC masih menaruh kepercayaan kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah untuk menerajui pasukan kejurulatihan di sebalik prestasi kurang meyakinkan skuad Kejor Yeop Kejor itu.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, biarpun kecewa dengan keputusan kekalahan pasukan dalam saingan Liga Super minggu lalu dengan Penang FC, pihak pengurusan yakin pemain akan bangkit untuk memperbaiki kelemahan.

Menurutnya, kemenangan ke atas pasukan Kedah Darul Aman FC sebelum ini membuktikan Perak FC mampu bersaing dan berada pada kedudukan terbaik di dalam Liga Super musim ini.

"Pertama sekali, kami dengan rendah hati memohon maaf di atas prestasi yang ditampilkan oleh pasukan kita pada perlawanan minggu lalu. Seperti penyokong, kami turut berasa sangat kecewa dengan kekalahan ini.

Lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui kualiti pasukan Perak FC yang mampu beraksi dengan tahap yang lebih tinggi.

"Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi sokongan penuh kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

Pihak pengurusan yakin dengan kemampuannya dan kita harus ingat Yusri merupakan individu yang berjaya membimbing pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 dengan menewaskan pasukan hebat seperti Kedah dan Sabah pada saingan musim lalu," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi pasukan itu pada Rabu.

Dalam pada itu, Abdul Azim mengakui Perak FC pada musim ini berdepan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi di sebalik kekangan sumber yang terhad dalam menanganinya satu persatu.

Artikel Berkaitan:

Sungguhpun begitu katanya, pihak pengurusan Perak FC sentiasa bekerja tanpa jemu untuk menyediakan satu pasukan yang kompetitif dan menghiburkan untuk peminat pasukan The Bos Gaurus itu.

"Kami mengaku yang kami masih belum sempurna. Namun, kami beriltizam dan terus komited dalam memastikan perkara ini pasti berhasil dan saya memberi jaminan kepada peminat Perak FC, kami sebagai pemilik kelab akan terus kekal di sini memacu pasukan kebanggaan rakyat negeri Perak.

"Kami sedar keputusan perlawanan masih tidak berpihak kepada kita dan sepatutnya melakukan jauh lebih baik.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong kerana selalu mengingatkan kami betapa pentingnya mengekalkan standard prestasi di tahap tertinggi. Kami tetap optimis mampu mengubah keadaan dan sasaran ini mampu dicapai," katanya.

Abdul Azim berkata, berdasarkan perancangan awal tahun, pihaknya meletakkan objektif menstabilkan kedudukan pasukan di kelompok pertengahan liga.

Beliau juga yakin Yusri dan semua pemain Perak FC berazam untuk meraih kemenangan dan mencapai kejayaan yang setinggi mungkin.

Sabtu lalu, Yusri dalam sidang media selepas tamat perlawanan di antara Perak FC dengan Penang FC di Stadium Perak di sini mengkritik secara terbuka persembahan ditunjukkan anak buahnya menyebabkan pasukan berkenaan tewas 0-2.

Untuk rekod Perak FC merupakan antara tiga pasukan tercorot berada pada kedudukan 11 daripada 13 pasukan yang bersaing dalam Liga Super selepas hanya mengutip tiga mata dalam lima perlawanan terdahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!