Bincang pemberian hibah, elak perbalahan keluarga

Abdul Aziz (dua dari kiri) memegang replika kad hibah secara simbolik pada Majlis Pelancaran di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.
Abdul Aziz (dua dari kiri) memegang replika kad hibah secara simbolik pada Majlis Pelancaran di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa yang memberi hibah kepada anak-anak perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang perbalahan antara keluarga.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perbincangan antara ahli keluarga perlu dilakukan bagi memastikan semua pihak berpuas hati dengan pengagihan harta pusaka.

"Dalam ucapan saya sebutkan sebelum keputusan dibuat (hibah) untuk pembahagian harta sama ada tanah, rumah, saham dan duit dalam bank, ibu bapa perlu berbincang dengan teliti urusan tersebut.

"Perbincangan hendak dilakukan bagi menentukan sesiapa yang berhak seperti cucu dan anak dan perlu ada konsensus (persefahaman)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kad Hibah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Abdul Aziz turut berharap di peringkat MAIS bukan sahaja dapat menguruskan tentang pembahagian hibah sekali gus memupuk kasih sayang serta mencegah permusuhan.

Beliau memberitahu, anak-anak juga dinasihatkan tidak bersikap zalim kepada ibu bapa setelah mereka menerima hibah.

Katanya, anak-anak wajib menghormati ibu bapa yang telah melahirkan dan membesarkan mereka selain turut memindah milik harta bagi tujuan tersebut.

"Memang ada kes anak-anak tidak mengenang jasa setelah harta dibahagi-bahagikan oleh ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Saya dimaklumkan ada kes anak menyuruh bapa keluar dari rumah dan terpaksa duduk di rumah kecil sahaja.

"Bila bapa tidak sihat, anak pula tidak datang ziarah, jadi kita tidak mahu perkara tersebut terjadi," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!