MARC iktiraf Sukuk Kelestarian Bank Rakyat, raih penilaian 'Emas'

Mohammad Hanis
Mohammad Hanis
A
A
A

MARC Ratings Berhad mengiktiraf Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Bank Rakyat dengan Penilaian Impak 'Emas' kerana memenuhi mandat dalam menyediakan pembiayaan, khidmat nasihat dan latihan kepada perusahaan mikro, kecil, sederhana serta koperasi.

MARC dalam satu kenyataan berkata, Bank Rakyat sebagai institusi kewangan pembangunan (DFI) juga telah meningkatkan akses kewangan kepada kumpulan sosial yang kurang mendapat perkhidmatan.

Menurutnya, Sukuk Kelestarian berkenaan dijangka menyokong dan mengembangkan portfolio pembiayaan hijau sejajar dengan Panduan Pelaksanaan Bank Negara Malaysia iaitu Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) serat Taksonomi Berasaskan Prinsip Perubahan Iklim (CCPT).

Jelasnya, rangka kerja itu selaras dengan komponen Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Piawaian Bon Lestari Asean (Asean SUS), Piawaian Bon Sosial Asean (Asean SBS) dan Piawaian Bon Hijau Asean (Asean GBS) yang dikeluarkan oleh Forum Pasaran Modal Asean (ACMF).

“Hasil daripada terbitan Sukuk Kelestarian tersebut akan disalurkan untuk membiayai perniagaan dan projek secara langsung bagi menyokong lapan daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami berpendapat Bank Rakyat telah mengikut Garis Panduan Bon Lestari (SBG), Prinsip Bon Hijau (GBP) dan Prinsip Bon Sosial (SBP) yang dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA).

“Penilaian ‘Emas’ ini mencerminkan pandangan bahawa impak daripada penyaluran hasil kepada perniagaan dan projek yang dikenal pasti akan memberikan manfaat sosial serta alam sekitar,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, pengiktirafan itu dapat meningkatkan keupayaan dalam menyumbang secara langsung dan bermakna ke arah kesejahteraan alam sekitar serta sosial.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, rangka kerja tersebut telah dibangunkan oleh bakat dalaman bagi mewujudkan prinsip panduan penerbitan Sukuk Kelestarian dan menyasarkan projek hijau.

Ujarnya, penilaian Émas’itu merupakan bukti kepada visi strategik dan dedikasi mereka untuk memupuk impak alam sekitar serta sosial yang positif.

“Kami percaya bahawa dengan melabur dalam projek hijau dan sosial, Bank Rakyat bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga memastikan inisiatif kami memberi impak positif kepada masyarakat serta alam sekitar.

“Rangka kerja ini direka untuk memenuhi piawaian tertinggi kelestarian dan ketelusan, serta memastikan setiap hasil yang diperoleh digunakan secara berkesan bagi menyokong projek selaras nilai teras Bank Rakyat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!