ADUN Seberang Jaya gesa kerajaan Pulau Pinang bubar GTWHI
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang perlu mengambil tanggungjawab penuh di atas tindakan pelaksana Festival George Town 2024 yang telah meminggirkan warisan kebudayaan Melayu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah berkata, sebagai salah seorang wakil rakyat di negeri ini, beliau turut berasa kesal dengan isi kandungan video promosi yang dikeluarkan sempena sambutan festival tersebut.
Menurutnya, permohonan maaf yang telah dibuat oleh pihak penganjur Festival George Town 2024 tidak memadai untuk menutup luka yang telah dihiris dan digores dengan dahsyat sehingga menyinggung perasaan para pelopor, penggerak warisan kebudayaan Melayu dan masyarakat Melayu secara amnya.
"Saya mendesak supaya kerajaan negeri membubarkan sahaja George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dan menutup entiti ini sebagai salah sebuah GLC negeri.
"Ini kerana, bukan sahaja objektif untuk memelihara dan mengangkat nilai keharmonian dan kewujudan bersama antara semua warisan kebudayaan tidak tercapai, malah telah menggores dan menconteng arang kepada para pelopor serta penggerak warisan kebudayaan Melayu dalam Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, festival tersebut adalah sebuah projek yang dimiliki oleh GTWHI yang mendapat geran tahunan dan suntikan kewangan daripada kerajaan Pulau Pinang.
"GTWHI telah menerima geran sebanyak RM3 juta bagi tujuan pengurusan, aktiviti serta suntikan secara khusus berjumlah RM1 juta untuk penganjuran Festival George Town daripada kerajaan negeri.
"Boleh dikatakan RM4 juta ini adalah wang rakyat Pulau Pinang. Seharusnya kerajaan negeri serahkan sepenuhnya tanggungjawab penganjuran program seperti ini kepada jabatan kerajaan sedia ada dan membuka hak penganjuran kepada penggerak, pelopor warisan kebudayaan yang layak dan berkebolehan.
"Ini bagi membolehkan pegawai-pegawai kerajaan yang bijaksana dapat terus memantau dan meletakkan garis panduan yang lebih holistik serta inklusif demi memelihara keharmonian masyarakat majmuk dalam Pulau Pinang," katanya.
Pada Selasa, pasukan George Town Festival 2024 memadam klip video 'teaser' berhubung sambutan festival tersebut di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi YouTube George Town Festival.
Dalam satu kenyataannya, tindakan tersebut dibuat untuk mengurangkan salah faham dalam kalangan orang ramai.
Pasukan itu juga memohon maaf di atas salah faham yang berlaku.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) meminta kerajaan Pulau Pinang melalui GTWHI bertindak dengan penuh tanggungjawab berhubung perkara itu.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, klip video bertemakan 'Here and Now' itu nyata tidak mempromosikan semangat muhibah dan masyarakat Madani di Pulau Pinang kerana seolah-olah menafikan kewujudan budaya kaum Melayu di negeri itu.
Klip video 'teaser' itu didakwa tersebar luas dalam media sosial bagi mempromosikan 'George Town Festival' yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 28 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!