Menyamar polis samun warga asing

Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata terhadap dua warga asing, Isnin lepas. Foto IPD Johor Bahru Selatan
Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata terhadap dua warga asing, Isnin lepas. Foto IPD Johor Bahru Selatan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua daripada tiga lelaki pada Selasa kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata terhadap dua warga asing, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam di sekitar bandar raya ini, manakala seorang lagi suspek berusia 32 tahun masih bebas.

"Kita menerima laporan, ketika dua mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun sedang tidur di rumah mereka, pintu kediaman itu diketuk suspek yang memberitahu mereka polis.

"Suspek menyamar sebagai polis untuk mengumpan mangsa agar membuka pintu rumah, sebelum masuk dan memukul mangsa.

"Suspek dilaporkan berjaya melarikan sebuah motosikal, tiga telefon bimbit, wang tunai RM400 dan geran motosikal dengan nilai kerugian keseluruhan kira-kira RM6,300," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah Raub, susulan tangkapan dibuat, polis turut menemukan semula kesemua barang yang dicuri termasuk dua parang digunakan suspek dalam kejadian itu yang telah dibuang ke sungai di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod lampau dalam jenayah dan dadah, mengaku terlibat dalam kejadian samun berkenaan.

Katanya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga Khamis depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar polis," katanya.

Raub berkata, polis kini giat mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas yang turut mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!