Dua pembantu pegawai pelabuhan mengaku tak salah menipu

Kedua-dua tertuduh (kiri dan kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Kedua-dua tertuduh (kiri dan kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua bekas pembantu pegawai pelabuhan masing-masing berhadapan dengan sembilan dan satu pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, tertuduh pertama Salim Paee, 61, dan tertuduh kedua, Osman Adi, 61, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menandatangani Lesen Kapal Kecil Berlesen Sabah yang dikeluarkan tidak mematuhi prosedur permohonan tambahan penumpang.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Jason Juga selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua pegawai yang bertugas di Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) Cawangan Kota Kinabalu dituduh di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu dengan curangnya menandatangani dokumen palsu sebagai tulen untuk tujuan menipu.

Kedua-dua tertuduh menandatangani dokumen tersebut bagi penambahan penumpang melebihi 12 orang yang mana lesen tersebut dikeluarkan tanpa mematuhi prosedur permohonan penambahan penumpang.

Sementara itu, tertuduh pertama juga turut berhadapan dengan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga telah menipu dan memperdayakan seorang pengusaha kapal kecil untuk mempercayai bahawa Lesen Penambahan Penumpang bagi kapal kecil boleh dikeluarkan tanpa kelulusan Ibu Pejabat JPDS.

Tindakannya itu mendorong pengusaha kapal kecil tersebut menyerahkan wang tunai sebanyak RM2,000.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh mohon dibicarakan dan mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 bersama seorang penjamin.

Tertuduh juga diminta untuk melaporkan diri ke Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dua bulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan, tarikh sebutan semula kes bagi tertuduh pertama ditetapkan pada 4 September depan manakala tertuduh kedua pada 12 September.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Joe Randy Juster.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!