AS tuduh Iran terlibat plot bunuh Trump
TEHERAN - Iran pada Rabu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan 'berniat jahat' dilemparkan media Amerika Syarikat (AS) yang secara tiba-tiba mengaitkan mereka dengan cubaan membunuh bekas Presiden, Donald Trump.
“Teheran menolak dakwaan tidak berasas itu,” ujar jurucakap Kementerian Luar, Nasser Kanani selepas Iran dituduh terlibat dengan kejadian tersebut.
CNN menerusi laporan mereka mendakwa plot itu kononnya tiada kaitan dengan insiden serangan tembakan di acara kempen Trump di Pennsylvania pada Sabtu lalu.
“Pihak berkuasa AS menerima maklumat risikan daripada sumber boleh dipercayai tentang rancangan tersebut hingga menyebabkan kawalan keselamatan dipertingkatkan ke atas bilionair hartanah tersebut,” jelas laporan itu lagi.
Majlis Keselamatan Negara memaklumkan ia telah menjejaki ancaman terhadap bilionair hartanah itu selama bertahun selepas Teheran dikatakan mahu menuntut bela atas kematian Leftnenan Jeneral, Qasem Soleimani yang terkorban dalam serangan dron AS di Iraq pada 2020.
“Kami melihat ia sebagai isu keselamatan negara dan menjadi keutamaan buat masa ini,” ujar jurucakapnya, Adrienne Watson.
Sehingga kini, siasatan ke atas insiden serangan tembakan Trump gagal mengenal pasti hubungan antara suspek, Thomas Matthew Crooks dengan mana-mana konspirator selepas dia dipercayai bertindak secara sendirian.
Susulan insiden menggemparkan yang turut mewujudkan pelbagai teori konspirasi itu, Presiden Joe Biden telah mengarahkan semakan bebas terhadap cara pengendalian agensi rahsia kerana gagal mengesan ancaman tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!