Tiga penguat kuasa terlibat sindiket 'pasport terbang' ditahan SPRM
KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berjaya membongkar kegiatan sindiket 'pasport terbang' dengan penahanan tiga anggota penguat kuasa di sebuah jabatan menerusi Op Fly yang dilaksanakan baru-baru ini.
Kesemua suspek lelaki berusia 40-an hingga 50-an ditahan kira-kira jam 2 petang Rabu ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, suspek disyaki menerima rasuah kira-kira RM300,000 daripada sindiket pemalsuan pembaharuan pasport yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun 2023.
"Kesemua suspek yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan tersebut sehingga kini dan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 setiap seorang bagi seorang pemohon.
"Siasatan awal mendapati seramai 100 pemohon yang terlibat dan modus operandi adalah dengan memalsukan tandatangan penerima serta memanipulasi sistem cap jari pemohon di mana peraturan menetapkan pemohon perlu hadir sendiri di agensi untuk mengambil pasport yang telah diluluskan.
"Anggota penguat kuasa yang terlibat kemudian menyerahkan pasport kepada orang tengah tanpa kehadiran pemohon yang masih berada di luar negara,” katanya.
Menurut sumber lagi, hasil siasatan menunjukkan penguat kuasa terbabit telah menerima wang rasuah daripada agen secara pindahan wang ke akaun bank milik salah seorang penguat kuasa yang kemudian mengagihkan kepada rakan-rakannya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
"Kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah, esok (Khamis) bagi mendapatkan permohonan reman.
"SPRM juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan mengenai kes ini akan dilakukan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!