Antara TMM2020 dan koronavirus

No Image Caption
A
A
A

KETIKA negara sedang sibuk membuat persiapan menyambut tetamu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020), rakyat negara ini dikejutkan dengan kemunculan koronavirus di Wuhan, China yang kini mula dianggap satu pandemik global.

Sejak awal tahun lagi, kita sudah memukul canang memberitahu dunia bahawa 2020 adalah Tahun Melawat Malaysia sekali gus menjadi hasrat negara membawa masuk 30 juta pelancong asing.

Selaras itu juga kerajaan menyasarkan bakal memperoleh anggaran pendapatan sebanyak RM100 bilion.

Malangnya, rakyat Malaysia kini bukan sahaja seperti tidak peduli mengenai kempen TMM2020, malah media sosial dibanjiri kritikan dan kebimbangan terhadap serangan virus berkenaan.

Laporan mengenai pasangan pelancong China ditahan semula Sabtu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor gara-gara ‘melarikan’ anak mereka yang sedang dikuarantin di sebuah hospital di Johor Bahru selepas disyaki dijangkiti koronavirus memang mengejutkan, tetapi sejauh mana kerajaan serius dengan isu ini?

Lebih menakutkan apabila banyak portal melaporkan virus berkenaan yang dikatakan bermula di pasar Wuhan mudah merebak daripada manusia ke manusia. Apatah lagi jumlah kematian di China telah meningkat kepada 56 orang, termasuk doktor yang merawat pesakit terbabit.

Tular juga virus itu sedang merebak ke beberapa negara termasuk Filipina, Australia, Perancis dan Nepal. Jadi, apakah Malaysia tetap mahu membenarkan pelancong China masuk ke Malaysia?

Ramai yang berkongsi laporan mengenai pemimpin Filipina yang tidak membenarkan 500 pelancong dari Wuhan tiba di negara itu dan berharap kerajaan Malaysia akan melakukan perkara sama kerana tidak mahu berkompromi dalam isu kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Visit Malaysia 2020
Visit Malaysia 2020

Bahaya virus itu turut mengakibatkan Hong Kong mengumumkan darurat manakala Rusia menyekat buat sementara penerbangan dari Wuhan. Di Malaysia, empat kes koronavirus dikesan setakat semalam.

Media sosial terutama Facebook memberi gambaran bahawa rakyat kurang senang dengan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin bahawa Malaysia tidak merancang melarang pelancong China memasuki negara buat masa ini sebaliknya akan melakukan saringan lebih ketat.

Perkara itu seiring dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi menerusi akaun Facebook beliau pada pada 22 Januari lalu bahawa pihaknya tidak mahu pelancong dari China menjadi mangsa diskriminasi, lebih-lebih lagi semua pelancong akan melalui proses saringan di pintu masuk negara.

Hasrat kerajaan untuk membawa masuk lebih ramai pelancong China sempena TMM2020 memanglah baik untuk ekonomi negara. Beberapa langkah telah pun diambil untuk merealisasikannya termasuk memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong China.

Selain menarik pelancong, polisi itu juga membantu memperkukuhkan kerjasama dua hala Malaysia-China.

Jika benar ketibaan pelancong China meningkat daripada 1.61juta pada 2014 kepada 2.94 juta pada 2018 berdasarkan statistik Tourism Malaysia, apakah kerajaan tidak boleh berkompromi demi kesihatan rakyat?

Memang industri pelancongan menyumbang 14.6 peratus atau RM220.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2018, tetapi apakah itu menjadi taruhan?

Rakyat kini sudah mula menandatangani petisyen supaya kerajaan menyekat sementara waktu kemasukan rakyat China ke Malaysia. Adakah kita juga antara individu yang akan melakukan perkara sama? Tepuk dada tanya selera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!