Lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya, anak terselamat

Lokasi mangsa hilang dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Subuk, Kampung Sobak Perpaduan, Kinabatangan.
Lokasi mangsa hilang dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Subuk, Kampung Sobak Perpaduan, Kinabatangan.
A
A
A

KINABATANGAN - Seorang pekerja ladang hilang dikhuatiri dibaham buaya manakala anaknya terselamat ketika memukat ikan di Sungai Subuk, dalam kejadian di Kampung Sobak Perpaduan, di sini pada petang Selasa.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa, Kami Antong, 35, baru selesai bertugas dan keluar memukat bersama anaknya yang berusia 10 tahun.

Bagaimanapun Ketua Balai Bomba (BBP) Kinabatangan Azlan Jamaluddin berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.07 malam daripada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.

Operasi SAR mangsa dilakukan di Sungai Subuk, Kampung Sobak Perpaduan, Kinabatangan.
Operasi SAR mangsa dilakukan di Sungai Subuk, Kampung Sobak Perpaduan, Kinabatangan.

Katanya, menurut maklumat awal, mangsa dikatakan memukat ikan bersama anaknya selepas selesai tugasan mengait buah kelapa sawit.

"Menurut laporan juga anak mangsa sendiri melihat buaya menyerang bapanya ketika mereka di tepi sungai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Susulan kejadian itu, seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 41 kilometer dari BBP Kinabatangan.

"Pasukan bomba yang dikejar ke lokasi telah tiba di simpang Kilometer 22 namun operasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan disebabkan cuaca hujan.

Artikel Berkaitan:

"Operasi itu terpaksa ditangguhkan pada jam 12.14 tengah malam tadi dan disambung semula hari ini dan pencarian dijalankan di sepanjang sungai tersebut," katanya.

Azlan berkata, mangsa sehingga kini belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

"Operasi ditangguhkan pada jam 5.30 petang dan disambung esok," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!