MCMC siasat empat suspek buat komen jelik di Facebook, TikTok
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat empat lagi suspek berhubung komen jelik serta provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen yang dimuat naik di platform TikTok dan Facebook pada 9 Julai lalu.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, sesi rakaman percakapan terhadap empat suspek itu dilakukan di lokasi berasingan iaitu Rawang, Selangor; Sungai Petani, Kedah; Butterworth, Pulau Pinang dan Kangar, Perlis setelah aduan diterima daripada orang awam.
Menurutnya, tindakan tersebut adalah bagi membendung gejala buli siber yang berleluasa dalam kalangan masyarakat.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah disiasat seramai enam orang.
“Menerusi operasi yang dijalankan itu, kami telah menyita kad sim dan telefon pintar milik keempat-empat suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik bagi membantu siasatan,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini, MCMC telah menyerahkan Notis Kehadiran kepada kesemua suspek mengikut prosedur yang ditetapkan susulan komen provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen yang dimuat naik di platform TikTok dan Facebook pada 9 Julai lalu.
Mengulas lanjut, menurut MCMC, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ujarnya, orang ramai diingatkan untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran serta komen bertentangan undang-undang negara.
“Seksyen itu melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian yang mengganggu gugat keharmonian sosial,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!