UPSI santuni keluarga Nur Farah Kartini

Md Amin menyampaikan sumbangan kepada ibunya Allahyarhamah Nur Farah Kartini di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak pada Rabu.
Md Amin menyampaikan sumbangan kepada ibunya Allahyarhamah Nur Farah Kartini di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghulurkan bantuan kepada keluarga alumninya, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang hilang sebelum mayatnya dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada Isnin.

Bantuan tersebut merangkumi kenderaan, penginapan, proses pengebumian, sokongan kaunseling dan psikologi selain derma serta sokongan kewangan sepanjang berada di Semenanjung.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Taff berkata, sumbangan dan tawaran bantuan itu disampaikan kepada keluarga arwah yang hadir ke universiti tersebut pada pagi Rabu menerusi Tabung UPSI Prihatin dan Tabung Kebajikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

"UPSI menyediakan penginapan di Rumah Tamu, Kampus Sultan Azlan Shah bagi keluarga arwah bermalam malah selepas ini bagi memudahkan ahli keluarga menjalankan urusan ekoran kematian Nur farah Kartini.

"Selain itu, UPSI akan menyediakan van jenazah di bawah Pusat Islam untuk melancarkan proses pengkebumian jenazah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Mayat Nur Farah Kartini, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang kira-kira 6 petang, pada Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak kini direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Md Amin, beliau bersama pengurusan tertinggi bersimpati dengan keluarga mangsa dan berharap mereka tabah dan sabar menghadapi ujian kehilangan menyayat hati tanpa dijangka itu.

Kata beliau, seluruh warga UPSI malah rakyat negara Malaysia sangat bersedih dan berduka cita dengan nasib yang menimpa Nur Farah Kartini yang juga seorang pelajar yang cemerlang dan aktif membantu UPSI dalam pelbagai program pelajar.

"Selain urusan makan minum sepanjang keluarga berada di UPSI, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi akan membantu membawa pulang barang-barang milik arwah supaya mempermudahkan urusan.

"UPSI menerusi Fakulti Pembangunan Manusia juga akan menyediakan khidmat psikologi untuk keluarga arwah.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPP UPSI, Amirul Haiqal Amirrudin Baki berkata, arwah seorang yang sangat baik, mesra dan jasanya akan dikenang oleh semua mahasiswa.

Ujarnya, sebagai tanda prihatin MPP juga mengambil inisiatif mengumpul sumbangan untuk disampaikan kepada keluarga Allayarhamah.

Sementara itu, Md Amin bersama warga UPSI mengadakan bacaan Yasin dan tahlil atas inisiatif Kolej Awang Had Salleh dan Pusat Islam di Masjid Ar-Rasyidin, Kampus Sultan Azlan Shah yang dikendalikan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam, Mohd Ali Abdul Malek.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!