Berpantang maut sebelum ajal
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan lori treler di kilometer (KM) 16, Jalan Sungai Tiram, pada Rabu.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP), Sufian Md Lis dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 11.34 pagi.
Katanya, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan sebuah jentera fire rescue tender (FRT) dan satu unit jentera Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan enam anggota telah dihantar ke lokasi.
“Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta Proton Wira dan sebuah lori treler.
“Pemandu kereta Proton Wira seorang lelaki dalam lingkungan usia 60 tahun mengalami kecederaan di muka telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum PKO tiba ke lokasi.
“Pemandu treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
PKO turut bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa dan menghantar mangsa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan menaiki EMRS.
Operasi ditamatkan sekitar jam 12.09 tengahari, Rabu.
Sementara itu insiden kemalangan itu turut tular di aplikasi X pada pautan dengan memaparkan dua video berdurasi 1 minit 39 saat dan satu video lagi berdurasi 9 saat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!