Pemandu lori kena serangan jantung, dua maut dirempuh

Lori dipandu hilang kawalan lalu merempuh enam kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Bukit Dugang pada Rabu. Foto PDRM
Lori dipandu hilang kawalan lalu merempuh enam kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Bukit Dugang pada Rabu. Foto PDRM
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki dipercayai mengalami serangan jantung sebelum lori dipandunya merempuh enam kenderaan lain dalam kemalangan dekat Jalan Bukit Dugang di sini pada Rabu.

Kejadian terbabit turut mengakibatkan dua lelaki yang merupakan penunggang motosikal maut akibat rempuhan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya sebelum itu menerusi Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 9.46 malam.

"Siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 9.10 malam itu melibatkan sebuah lori, empat kereta dan dua motosikal.

"Pemandu lori terbabit dari arah Putrajaya menghala ke Jenderam dipercayai mengalami serangan jantung di lokasi kemalangan mengakibatkan lori terbabit hilang kawalan ke laluan bertentangan sebelum merempuh enam kenderaan lain," katanya menerusi kenyataan pada Rabu

Beliau berkata, kejadian mengakibatkan dua penunggang motosikal maut.

"Mangsa masing-masing berumur 53 dan 31 tahun itu maut di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Putrajaya.

"Seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori terlibat mengalami kecederaan parah akibat kejadian dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Putrajaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!