Isu Doping: Tamparan hebat arena olahraga negara

Nazmizan Mohamad
Nazmizan Mohamad
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) harus mengambil iktibar supaya isu doping membabitkan atlet muda, Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli tidak berulang.

Bekas pelari pecut kebangsaan, Nazmizan Mohamad berkata, isu tersebut sedikit sebanyak mencemarkan imej arena olahraga negara selain turut memberikan tamparan hebat kepada KOM.

"KOM harus bekerjasama erat dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) dan dalam masa sama sentiasa mewujudkan ujian doping dalam kejohanan besar seperti Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (Sukma).

"Selain itu, mereka harus memberi pemantauan lebih ketat dan memberi pendedahan kepada atlet kesan negatif pengambilan bahan terlarang itu agar isu sama tidak berulang pada masa akan datang.

"Ini juga boleh dijadikan pengajaran kepada atlet lain bahawa tiada cara mudah untuk berjaya dengan pengambilan bahan terlarang selain perlu bekerja keras untuk meningkatkan prestasi," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Presiden KOM, Datuk S M Muthu mengumumkan Muhammad Syazrul Adli, 17, yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal doping dikenakan hukuman penggantungan empat tahun berkuat kuasa serta-merta.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu didapati positif doping ketika menyertai Kejohanan Tertutup KOM 2019 pada Ogos tahun lalu dan turut diberi peluang membela diri dalam beberapa siri pendengaran sebelum ini.

Begitupun, pelari pecut dari Pulau Pinang berusia 18 tahun itu boleh membuat rayuan dalam tempoh 30 hari kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mengurangkan hukuman terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

"Kalau lihat kepada kes ini, dia sendiri yang ambil barang terlarang itu daripada kawannya. Mungkin agak sukar mengurangkan tempoh rayuan tetapi segala-galanya bergantung kepada hujah atlet itu sendiri dalam sesi rayuan nanti," jelasnya yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!