Usaha perdamaian Hamas-Fatah
BEIJING - China pada Selasa menyatakan kesediaan untuk menjadi perantara proses perdamaian antara puak yang bertelagah di Palestin selepas gerakan Fatah mengesahkan wakil mereka akan bertemu delegasi Hamas di Beijing pada akhir minggu ini.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Fatah, Sabri Saidam di tengah-tengah Perang Gaza yang semakin ganas dan tiada tanda bakal berakhir dalam masa terdekat.
Beijing dalam satu kenyataan menyatakan ia akan memberikan butiran lanjut tentang pertemuan penting itu yang mana wakil Fatah akan diketuai oleh Timbalan Ketua, Mahmud Alul manakala Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh bakal memimpin delegasi Hamas.
“China sentiasa menyokong kesemua pihak di Palestin untuk mencapai perpaduan melalui sesi dialog dan rundingan.
“Kami bersedia menyediakan platform dan membuka peluang kepada pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian tentang isu Palestin,” ujar jurucakap Kementerian Luar, Lin Jian.
Sebelum ini, beberapa usaha perdamaian gagal direalisasikan, namun desakan supaya kedua-dua gerakan itu supaya bersatu semakin meningkat sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu selain insiden keganasan didalangi pelampau Yahudi dan rejim Zionis yang terus berleluasa di Tebing Barat.
Pertemuan yang dijadualkan pada bulan lalu juga dikatakan terpaksa ditunda setelah Hamas terlibat rundingan pelaksanaan gencatan senjata bersama Israel yang gagal mencapai sebarang kesepakatan kerana rejim Tel Aviv terus berdolak-dalih.
China telah meletakkan diri mereka sebagai 'pihak lebih neutral' terhadap konflik Hamas-Israel berbanding 'seterunya', Amerika Syarikat (AS) yang beria-ia menggesa penyelesaian dua negara, namun masih mengekalkan hubungan yang baik bersama rejim Tel Aviv.
Israel bongkak
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa di Gaza memaklumkan puluhan penduduk Palestin terkorban dalam tiga serangan berasingan di enklaf berkenaan selepas Washington mengecam jumlah kematian orang awam yang kekal tinggi akibat kempen pengeboman sekutunya.
Rejim Zionis dilaporkan sekali lagi membedil 'bandar khemah' di zon selamat ciptaan mereka di al-Mawasi di selatan Gaza dan sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kem pelarian Nuseirat di tengah wilayah itu.
Israel seakan-akan melampiaskan kemarahan terhadap penduduk Palestin setelah Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menzahirkan kebimbangan terhadap ofensif semakin menggila di Gaza.
Washington terus mendesak Hamas dan Israel supaya memeterai perjanjian bagi melaksanakan tempoh bertenang yang kali terakhir dilaksanakan pada November lalu.
Tetapi, usaha itu sekali lagi menemui jalan buntu setelah Hamas nekad menarik diri daripada proses itu sebagai tanda protes terhadap insiden pembunuhan beramai-ramai yang meragut hampir 100 nyawa pada minggu lalu.
Haniyeh menegaskan mereka hanya akan kembali semula ke meja rundingan jika Israel menunjukkan ia serius untuk mencapai persetujuan terhadap syarat-syarat perjanjian damai tersebut.
Israel bagaimanapun masih dengan sikap angkuh mereka.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu kononnya mereka mahu meningkatkan tekanan terhadap Hamas ketika perang itu sudah berlarutan selama lebih sembilan bulan dan mengorbankan lebih 38,600 penduduk Palestin.
“Kami akan tetap mencapai kesemua objektif perang dan akan membawa pulang kesemua tawanan di Gaza,” katanya. - AFP
Info:
> Kedua-dua gerakan itu mula bertelagah sejak pejuang Hamas 'mengusir' Fatah dari Genting Gaza berikutan insiden pertempuran ganas setelah Pilihan Raya Umum 2006. Setahun selepas itu, Hamas mengambil alih kawalan pentadbiran di Gaza dan terus mentadbir wilayah terkepung itu hingga kini.
> Pihak Berkuasa Palestin (PA) di bawah gerakan Fatah pula memegang kawalan separa di Tebing Barat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!