Aktif dalam grup WhatsApp, kongsi lokasi demi jaga keselamatan ahli keluarga

Menggunakan ciri 'share location', ahli keluarga mudah berkongsi lokasi mereka terutama ketika keluar berurusan dengan orang lain atau melakukan aktiviti di kawasan tertentu. Foto 123RF
Menggunakan ciri 'share location', ahli keluarga mudah berkongsi lokasi mereka terutama ketika keluar berurusan dengan orang lain atau melakukan aktiviti di kawasan tertentu. Foto 123RF
A
A
A

BEBERAPA kes orang hilang dan ada yang dijumpai mati dibunuh telah menggemparkan negara sehingga mencetuskan kegusaran ramai.

Menghadapi realiti ini, penting bagi setiap ahli keluarga untuk mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan keselamatan diri.

Salah satu cara yang efektif ialah melalui penggunaan aplikasi WhatsApp untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga.

Aktif dalam grup WhatsApp keluarga bukan hanya untuk berbual ringan atau berkongsi cerita harian, tetapi salah satu amalan berkaitan keselamatan.

Menggunakan ciri share location yang disediakan oleh aplikasi tersebut, ahli keluarga mudah berkongsi lokasi mereka terutama ketika keluar berurusan dengan orang lain atau melakukan aktiviti di kawasan tertentu.

Langkah ini tidak hanya membantu memastikan keberadaan setiap ahli keluarga, tetapi juga memberikan ketenangan fikiran kepada semua pihak berdepan sebarang kecemasan yang memerlukan tindakan cepat.

Sebelum meninggalkan rumah untuk urusan sehari-hari seperti pergi ke tempat kerja, belajar atau melakukan aktiviti lain, setiap ahli keluarga wajar berkongsi lokasi mereka secara langsung.

Meskipun nampak remeh tetapi tabiat ini membantu mengurangkan risiko salah faham atau kekeliruan mengenai pergerakan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Bagi mereka yang tinggal di perantauan dan jauh daripada keluarga terutama wanita, elakkan keluar bersendirian ke kawasan terpencil atas urusan tertentu.

Sekiranya perlu keluar seorang diri, maklumkan kepada rakan terdekat secara jelas bagi memastikan anda pulang dalam masa yang sepatutnya.

Tindakan awal dapat mengurangkan risiko bahaya dan mengelak sebarang ancaman nyawa.

Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Pesan Merak Jalanan, utamakanlah keselamatan diri dengan mempraktikkan langkah berwaspada pada setiap masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!