Sampai bila Malaysia mahu jual air ‘subsidi’ kepada Singapura?

Bagi tempoh 1962 hingga 2023, kerajaan Malaysia dianggarkan telah memberi 'subsidi' berjumlah RM2.379 bilion atau RM39 juta setahun kepada Singapura.
Bagi tempoh 1962 hingga 2023, kerajaan Malaysia dianggarkan telah memberi 'subsidi' berjumlah RM2.379 bilion atau RM39 juta setahun kepada Singapura.
A
A
A

ISU penjualan air Malaysia kepada Singapura berlarutan sekian lama dan menjadi topik yang sering diperdebatkan dalam politik dan hubungan antarabangsa kedua-dua negara.

Selari dengan keadaan semasa yang berubah dan nilai ekonomi yang semakin meningkat, harga jualan itu dianggap tidak lagi relevan.

Perjanjian air pertama ditandatangani pada 1961 bagi membenarkan Singapura mendapatkan air mentah dari Tebrau dan Sungai Skudai. Sebagai balasan, Singapura menyalurkan 12 peratus air terawat kepada Johor.

Perjanjian tersebut tamat pada Ogos 2011 dan Singapura tidak berhasrat memperbaharui kontrak kerana bekalan air di negara itu telah mencukupi.

Perjanjian air kedua dimeterai pada 1962 yang membolehkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air mentah sehari dari Johor pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen.

Sebagai balasan, Singapura menjual dua peratus air terawat kepada Johor berharga 50 sen setiap 1,000 gelen menerusi perjanjian tersebut yang hanya akan tamat pada 2061.

Bagi tempoh 1962 hingga 2023, kerajaan Malaysia dianggarkan telah memberi 'subsidi' berjumlah RM2.379 bilion atau RM39 juta setahun kepada negara Seberang Tambak itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong baru-baru ini menyatakan keperluan mendesak untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengarahkan kakitangan kerajaan untuk mempercepat proses rundingan dan berharap agar isu ini dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Sebelum ini Singapura berpegang teguh pada perjanjian asal dan berpendapat, sebarang perubahan perlu berdasarkan persetujuan bersama.

Singapura juga mendakwa Malaysia kehilangan hak kerana tidak melakukan semakan harga air yang sepatutnya dibuat pada 1987 dan 2012.

Sebenarnya Malaysia masih boleh berbuat demikian setiap tahun selepas 25 tahun dari tarikh Perjanjian 1962 ditandatangani.

Malaysia berhak untuk menyemak semula harga ini agar lebih mencerminkan nilai semasa sumber tersebut kerana tiada negara yang menjual air pada harga begitu rendah.

Malaysia perlu adil kepada rakyatnya sendiri dan wajar mendapatkan semula nilai yang sepatutnya bagi sumber air negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!