'Saya cabar Pas bertanding di Nenggiri' - Puad
SHAH ALAM - Pas dicabar supaya meletakkan calon sendiri dan tidak memberikan peluang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, jika Bersatu terus diberi laluan untuk bertanding pada PRK tersebut, dibimbangi akan berlaku peralihan sokongan seperti yang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, Pas perlu menuntut ganti rugi susulan tindakan yang dibuat oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.
“Kenapa beri kepada Bersatu? Mungkin calon Bersatu akan buat hal lagi macam Azizi.
“Pas wajar mendenda Bersatu kerana tindakan Azizi. Pas patut tuntut ganti rugi dengan minta kerusi Nanggiri, apatah lagi Azizi masih kekal sebagai Ahli Parlimen, Gua Musang yang menang atas tiket Pas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri.
Susulan itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan diadakan pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos dan hari mengundi awal 13 Ogos.
Mengulas lanjut, menurut Mohd Puad, Nenggiri perlu menjadi medan kekuatan antara Pas dan UMNO.
“Sebelum ini semua PRK dimenangi oleh penyandang parti. Maka biar Nenggiri menjadi medan beradu kekuatan siapa rampas kerusi siapa antara Pas dengan UMNO,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!