Keropok beracun: Pekebun dibebaskan dengan jaminan polis
KULIM - Seorang lelaki berusia 33 tahun yang direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian dua beradik maut akibat termakan keropok mengandungi racun, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, suspek yang merupakan seorang pekebun itu, direman sejak 11 Julai sehingga semalam.
"Tempoh reman tidak akan disambung dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya.
"Kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dua beradik Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia selepas makan keropok mengandungi racun tikus.
Pada kejadian 7 Julai di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar dekat sini, kanak-kanak tersebut dipercayai mengambil peket keropok yang digantung pada dawai besi pagar kebun oleh pemilik kebun bagi memerangkap monyet.
Muhammad Akil Syauqi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) 10 Julai, manakala Muhammad Luth Syauqi meninggal dunia dua hari kemudian di hospital sama.
Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.
Siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!