Tiada sebab pindaan RUU Akta Penagih Dadah tidak disokong - Pakar

RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 memberi nafas baharu kepada pengurusan penagihan dadah. Gambar kecil: Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin
RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 memberi nafas baharu kepada pengurusan penagihan dadah. Gambar kecil: Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 memberi nafas baharu kepada pengurusan penagihan dadah dan penyalahgunaan bahan yang boleh dilihat dengan memenuhi ciri-ciri amalan terbaik dalam rawatan dan pemulihan dadah serta bahan.

Pakar Kaunseling Penagihan, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata, semangat yang diterjemahkan dalam pemakaian pindaan RUU ini juga melengkapi prinsip-prinsip rawatan dan pemulihan seperti mana yang disarankan oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NIDA).

“Justeru, tidak ada sebab pindaan RUU itu tidak disokong kerana kebaikan yang akan diterjemahkan pastinya menguntungkan negara dalam semua aspek khususnya keselamatan, kesihatan, ekonomi dan sosial.

“Saya melihat kerajaan sangat berhati-hati dalam melaksanakan dekriminalisasi (menyahjenayah) dengan mengambil kira semua aspek melalui proses libat urus yang sangat menyeluruh. Malah, ia juga mengimbangi aspek kesihatan dan komponen keselamatan yang mana ia menyentuh empat aspek utama dalam pengurusan penagihan.

“Ia termasuklah akses rawatan, pemulihan; kebertanggungjawaban ibu bapa, orang dewasa; integriti proses rawatan dan pemulihan melalui penubuhan Majlis Profesion Pegawai Pemulihan serta piawai minimum perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjelaskan, bagi akses rawatan dan pemulihan, pindaan RUU itu jelas menterjemahkan tindakan yang proaktif dengan mengalihkan pendekatan pemenjaraan kepada pendekatan bukan pemenjaraan.

Pemakaian Seksyen 6 (a) katanya, adalah sebuah seksyen yang sangat bermakna dalam memastikan agar setiap pesakit mendapat rawatan dan pemulihan terbaik mengikut pilihan terbuka.

“Pindaan ini juga menekankan kebertanggungjawaban ibu bapa dan orang dewasa, yang mana ibu bapa yang mengabaikan perkembangan anak-anak mesti mengambil tanggungjawab terhadap tingkah laku dan tindak tanduk mereka.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, integriti proses rawatan dan pemulihan melalui penubuhan Majlis Profesion Pegawai Pemulihan akan mengangkat kewibawaan proses pemulihan dengan menyediakan Pegawai Pemulihan yang profesional setara dengan profesion perkhidmatan menolong yang lain.

“Apa yang lebih menarik ialah pindaan ini pastinya merupakan punca kuasa kepada pemerkasaan pusat perkhidmatan rawatan dan pemulihan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta,” jelasnya.

Pada 9 Julai lalu, RUU Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang dibentang untuk bacaan kali kedua, ditangguhkan dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan untuk pandangan lanjut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penangguhan rang undang-undang itu yang telah melalui proses perbahasan dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat setelah meneliti pandangan Ahli Parlimen, selain memastikan rang undang-undang itu menjadi akta terbaik apabila diluluskan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!