Biden positif Covid-19 semasa kempen di Las Vegas
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden disahkan positif Covid-19 semasa berkempen di Las Vegas, Nevada.
Biden menunjukkan "gejala pernafasan atas," termasuk hidung berair, batuk dan "ketidakselesaan umum," menurut nota daripada doktornya.
Walaupun dengan gejala itu, beliau berasa cukup sihat untuk menghadiri perhentian pertama kempennya pada petang Rabu.
Ujian dijalankan kemudian dan menunjukkan keputusan positif Covid-19, lapor Agensi Anadolu (AA) yang memetik pengumuman Rumah Putih pada Rabu.
Presiden "akan menjalani kuarantin kendiri dan akan terus menjalankan semua tugasnya sepenuhnya sepanjang tempoh itu," kata jurucakap Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.
"Rumah Putih akan memberikan kemas kini secara berkala mengenai status Presiden sementara beliau terus menjalankan tugas sepenuhnya semasa dalam kuarantin," tambah Jean-Pierre.
Diagnosis Biden mula-mula didedahkan oleh presiden sebuah kumpulan advokasi hak sivil Latin yang dijadualkan Biden untuk berucap pada petang Rabu.
Ucapan itu telah dibatalkan. Bagaimanapun, Biden sempat menghadiri acara kempen di Restoran Original Lindo Michoacan di Las Vegas, apabila beliau bertemu dan bergambar dengan pengunjung.
Beliau juga mengambil bahagian dalam wawancara dengan penyiar berbahasa Sepanyol, Univision. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!