Kontraktor direman disyaki kemuka tuntutan palsu
GEORGE TOWN - Seorang kontraktor direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu melibatkan hampir RM20,000.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada jam 7.30 petang, Rabu ketika diambil keterangan.
Menurut sumber SPRM, suspek didakwa telah mengemukakan invois barangan hidupan akuatik, namun tidak menghantar barangan tersebut.
"Selepas mengemukakan invois, wang pembayaran berjumlah hampir RM20,000 yang diterima telah masuk ke akaun suspek.
"Bagaimanapun, barangan yang sepatutnya dihantar tidak dibekalkan kepada sebuah institut penyelidikan perikanan," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.
Suspek direman bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!