[VIDEO] Tercampak 3 meter ke dalam parit dipukul ribut
MARANG - Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila tercampak ke dalam parit sedalam tiga meter akibat dipukul ribut dalam kejadian di kawasan rekreasi Pantai Pulau Kekabu, di sini petang Rabu.
Mohd Radzuan Tawang, 40, berkata, insiden sekitar jam 4 petang itu berlaku sekelip mata menyebabkan dia mengalami kecederaan kecil pada bahagian badan.
"Waktu angin tiba-tiba datang saya segera berlari untuk menyelamatkan diri dengan berlindung di sebalik van, malangnya angin yang terlalu kuat menolak badan saya sehingga terjatuh ke dalam parit.
"Waktu tu saya hanya mampu berdoa dan berserah segalanya kepada ALLAH SWT agar dijauhkan daripada bahaya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Khamis.
Kejadian ribut yang melanda kawasan itu menyebabkan lebih 10 penjaja kecil terjejas apabila kanopi dan gerai perniagaan mereka diterbangkan angin selain kira-kira 20 pokok ru tumbang.
Rata-rata mereka terpaksa menanggung kerugian antara RM2,800 hingga RM3,000 seorang kerana khemah dan barangan jualan musnah.
Menurut seorang lagi peniaga, Norimah Mohamad Daud, 54, kejadian itu amat menakutkan walaupun berlaku dalam tempoh 15 minit.
"Banyak pokok ru yang tumbang dan saya pun cedera sedikit di bahagian kaki kerana terkena pelepah kelapa yang jatuh dibadai ribut.
"Paling cemas apabila saya ternampak ada ular diterbangkan angin dari pelepah kelapa sebelum terjatuh dan berlingkar di tayar kereta. Waktu tu segera berlari ke belakang kenderaan lain untuk menyelamatkan diri," ujarnya.
Menurut Norimah, insiden ribut yang berlaku itu adalah kejadian terburuk sepanjang 10 tahun mereka berniaga di situ.
Sementara itu, Mohd Hanif Jaafar, 36, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila gerainya turut musnah dilanda ribut.
Katanya, dia kini buntu mahu memulakan kembali perniagaan kerana semua khemah dan peralatan jualan telah rosak.
"Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat menyediakan premis jualan kekal seperti kiosk di pantai pelancongan yang lain agar kejadian ribut ini tidak menjejaskan lagi perniagaan kami pada masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, katanya walaupun sudah lali dengan angin kuat dan hujan lebat, ribut yang berlaku itu adalah di luar jangkaan.
"Beberapa minit sebelum kejadian, memang hujan agak lebat namun keadaan kembali reda dan cerah seperti biasa sebab hujan sudah berhenti.
"Dalam sekelip mata langit tiba-tiba bertukar gelap disusuli ribut dengan angin yang terlalu kuat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!