Bekas pengurus besar tidak mengaku salah dapatkan suapan

Wan Khairul Faizee (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.
Wan Khairul Faizee (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Seorang bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tambun Bandaraya Ipoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan empat tahun lalu.

Tertuduh, Wan Khairul Faizee Wan Zukifli, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, perbuatan tersebut dilakukan di Pejabat PPK Tambun Bandaraya Ipoh di sini pada 16 November 2020.

Tertuduh didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan apabila meluluskan baucar bayaran kepada Syarikat WIA Management And Services milik isterinya bagi pembekalan satu unit komputer tablet Microsoft Surface Pro 7 berjumlah RM7,400 melalui invoice no: 201111 bertarikh 16 November 2020.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah dan nilai suapan.

Pendakwaan yang dikendalikan pegawai pendakwa, Mohamad Pahmi Ahmad kemudiannya mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek meminta jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan tertuduh perlu menyara lima orang anak dengan pendapatan RM4,500 sebulan.

Hakim Datuk Ibrahim kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM sehingga perbicaraan selesai.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!